Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pesta muzik Melayu terbesar di S’pura berlangsung 4 bulan lagi

Satu pesta muzik terbesar Singapura bakal dianjurkan sekitar empat bulan lagi, menampilkan 20 nama besar arena muzik - penyanyi solo dan kumpulan - dari Indonesia, Malaysia dan Singapura sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu pesta muzik terbesar Singapura bakal dianjurkan sekitar empat bulan lagi, menampilkan 20 nama besar arena muzik - penyanyi solo dan kumpulan - dari Indonesia, Malaysia dan Singapura sendiri.

Dipanggil StereoFest, antara nama-nama yang sudah didedahkan dan akan menyertai pesta itu ialah New Boyz, Ayda Jebat, Zee Avi dan Jaz. Ia akan berlangsung di Sentosa pada 22 dan 23 Februari 2020, anjuran syarikat Adi Media yang terkenal sebagai penganjur CelebFest.

Penyanyi Singapura sendiri yang disahkan akan turut serta termasuklah ANBS: Hyrul Anuar, Syed Azmir dan Fauzie Laily. Barisan penyanyi-penyanyi lain akan diumumkan secara bertahap-tahap pada bulan November dan Disember ini.

Di sidang media bagi pelancaran StereoFest pada Jumaat (19 Okt), vokalis New Boyz, Tomok, turut hadir. Beliau berkongsi kegembiraannya dengan BERITAmediacorp: “Teruja sebab New Boyz dah lama tak buat persembahan di Singapura, jadi ini satu peluang keemasan untuk kita membuat ‘reunion’ bersama peminat-peminat di Singapura.

“Saya sendiri rasa Stereofest ini adalah satu platform yang sangat sesuai untuk kami nyanyikan balik lagu lama New Boyz dan pada masa yang sama, dapat berkongsi pentas dengan barisan yang sangat hebat.

“Apa yang saya boleh cakap, 98 peratus, kami akan memberikan yang terbaik dan juga kami akan mengimbau kembali, maknanya kesemuanya lagu-lagu adalah lagu-lagu ‘throwback’ dari New Boyz, kami akan nyanyikan bersama-sama.”

SEDIAKAN RUANG ‘FESTIVAL VILLAGE’ DALAM SUASANA SANTAI

Selain persembahan dari para selebriti, para pengunjung Stereofest juga bakal disajikan dengan pelbagai hidangan makanan dan minuman di ruang ‘Festival Village’. Ruang tersebut akan menempatkan gerai-gerai runcit dan kegiatan yang boleh dilakukan orang ramai.

Pengurus projek Cik Sharifah Nur'Aisyah berkata: “Stereofest adalah acara yang sangat istimewa sebab acara ini sangat santai dan relaks, dan pada masa yang sama ia juga acara yang sangat seronok untuk penonton.

“Tak kisah jika anda peminat muzik pop, hip-hop atau R&B, kami ingin mengundang anda ke acara ini supaya anda dapat lagi menikmati penyanyi-penyanyi akan anda gemar. Selain itu kami juga ingin memberikan lebih banyak lagi pendedahan kepada genre muzik yang lain.

Bukan sahaja untuk peminat, kami juga mahu menyatukan penyanyi-penyanyi dari rantau ini, jadi kami harap dengan acara ini kami dapat lagi menggalakkan kolaborasi dan pengeluaran muzik baru di rantau ini.”

PERADUAN STEREOSEARCH TAWAR HADIAH S$10,000

Sehubungan itu, satu peraduan online dipanggil StereoSearch juga diadakan bagi mencari artis rakaman bagi industri muzik Melayu.

Lapan penyanyi yang dipilih akan membuat persembahan secara ‘live’ di Celebfest pada Disember dan pemenangnya akan menerima hadiah-hadiah bernilai S$10,000, rakaman EP dan slot persembahan di StereoFest pada Februari nanti.

Tiket-tiket bagi StereoFest berharga S$58 (kemasukan am satu hari), S$108 (kemasukan am dua hari), S$198 (kemasukan VIP satu hari) dan S$368 (kemasukan VIP dua hari dengan sesi ramah mesra).

Tiket berharga S$58 dan S$108 adalah harga bagi masa terhad sahaja. Harga asal adalah S$98 dan S$168.

Jika anda berminat menyertai pesta muzik Melayu terbesar Singapura itu, tiket-tiket StereoFest boleh didapatkan di www.stereofest.asia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan