Images

Pesakit kronik dan peserta bukan Melayu antara 18 peserta bertarung rebut gelaran Anugerah 2021

SINGAPURA: Mulai Selasa (2 Feb), 18 peserta terbaik musim terbaru Anugerah 2021 akan berentap setiap minggu untuk membawa pulang hadiah S$25,000.

Peraduan nyanyian anjuran Mediacorp Suria itu kembali dengan format berbeza termasuk had usia dan kategori peserta yang diluaskan.

BERITAmediacorp ke belakang tabir sesi rakaman Anugerah 2021 untuk mengenali dua peserta dengan lebih dekat lagi.

Berbekalkan bakat dan minat yang mendalam dalam bidang seni suara, Meeda Zainal, 56 tahun berjaya melangkah ke pusingan 18 peserta terbaik musim terbaru Anugerah.


Meeda Zainal (Gambar: BERITAmediacorp)

Bahkan, beliau sebelum ini pernah menyertai pertandingan-pertandingan lain seperti 'Hiburan Minggu Ini' pada tahun-tahun 90-an, 'Anugerah V' dan musim kedua 'OK Syiok!'.

Walaupun aktif di arena pentas, Cik Meeda sebenarnya menghidap dua penyakit kronik - barah payudara dan penyakit ginjal. Di tengah-tengah kesibukannya bertanding, beliau masih lagi perlu menjalani rawatan kemoterapi dan dialisis.

Namun, keadaannya itu tidak menghalang beliau untuk terus mengejar impiannya.

"Saya tak rasakan itu satu cabaran tapi satu motivasi untuk diri saya maju ke depan. Tujuan saya menyertai Anugerah adalah untuk memberi semangat.Bukan untuk diri saya, tetapi saya juga adalah pesakit barah dan juga pesakit ginjal, tahap akhir. Jadi dengan adanya Anugerah ini, saya memberi inspirasi pada teman-teman saya yang bahawasanya kita hidup ini haruslah selalu bergembira, berfikiran positif," kata Cik Meeda.

MAHU KENALKAN ACAPELLA KEPADA MASYARAKAT

Gelaran juara turut dikejar satu-satunya kumpulan berunsur acapella, Awwcappella.


Awwcappella (Gambar: BERITAmediacorp)

Kumpulan lima anggota itu berusia antara 21 hingga 24 tahun dan terdiri daripada sepasang adik beradik dan juga seorang anggota bukan Melayu.

Kumpulan itu tertubuh menerusi sebuah aktiviti ko-kurikular di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di mana empat anggotanya sedang menuntut.

"Kumpulan kami bukan sahaja menyanyi tapi kami juga ada koreografi yang harus kami fikirkan. Jadi persembahan kami lebih menarik.Kami akan menunjukkan apa yang lebih menarik dalam dunia acapella kepada masyarakat semua," kata salah seorang kumpulan Awwcappella, Nur Ridwana Hamzah, 22 tahun, yang sedang menuntut di Maktab Seni Lasalle.

RESEPI UNTUK JADI PEMENANG

Kali ini, Anugerah menampilkan dua pengadil tetap - guru vokal Ann Hussein dan personaliti terkenal Najip Ali dengan seorang pengadil jemputan setiap minggu.


Ann Hussein dan Najip Ali (Gambar: Mediacorp Suria)

Dengan kategori peserta yang lebih luas tahun ini, apakah faktor X yang dicari pengadil?

"Ini bukanlah satu pertandingan suara saja. Ini adalah pertandingan atau 'showcase' seni suara. Bagi saya seorang pengadil, saya harus atau selalu ingin melihat seni mereka. Bagaimana mereka tahu akan sikap mereka.Bagaimana mereka menggunakan kemahiran mereka. Kalau sikap, kemahiran tak ada, saya rasa buat apa lah masuk pertandingan?

"Semangat untuk bertanding dan juga untuk menang, itulah saya rasa adalah contoh orang yang akan jadi pemenang," jelas Najip Ali yang juga pernah mengadili Anugerah pada musim yang lepas.

Musim ke-11 Anugerah diacarakan oleh Khairudin Samsudin, Suhaillah Salam dan personaliti media sosial, Farah Lola.


Farah Lola, Khairudin Samsudin dan Suhaillah Salam (Gambar: Mediacorp Suria)

Selain barisan pengadil di studio, penonton di rumah juga diajak menilai sama peserta pilihan mereka melalui media sosial.

"Penonton di rumah juga dapat berinteraksi melalui media sosial iaitu Instagram Mediacorp Suria, akan diberi peluang untuk berikan pendapat mereka tentang nyanyian ataupun prestasi peserta-peserta," kata Khairudin Samsudin.

Sepanjang dua dekad sejak dianjurkan, Anugerah telah melahirkan bakat-bakat hebat antaranya Aliff Aziz, Fauzie Laily, Hyrul Anuar, Eka Mairina, Sarah Aqilah dan Maiya Rahman. Ia kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017 dan dijuarai Mohd Shahfiq.

Anugerah disiarkan setiap Selasa mulai 2 Feb, 8.30 malam di Suria dan juga meWATCH

- BERITAmediacorp/sy

Top