Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Persembahan kontroversil Aina Abdul dikecam persatuan kesihatan mental

Persembahan kontroversi oleh penyanyi Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL) pada Ahad (9 Feb) mengundang kecaman persatuan kesihatan mental.

Anggaran Waktu Membaca:
Persembahan kontroversil Aina Abdul dikecam persatuan kesihatan mental

(Gambar: Instagram/@Ainaabdul)

Diterbitkan : 10 Feb 2020 08:57AM Dikemas Kini : 10 Feb 2020 08:58AM

MALAYSIA: Persembahan kontroversi oleh penyanyi Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL) pada Ahad (9 Feb) mengundang kecaman persatuan kesihatan mental.

Seperti ditukil oleh Malaysiakini, dalam persembahan itu, Aina yang berpakaian serba putih dilihat menikam dadanya sehingga cecair merah serupa darah membasahi pakaiannya.

Persatuan Peduli Mental Malaysia (MIASA) menyifatkan persembahan konsep "bunuh diri" berkenaan sebagai keterlaluan.

“Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan bunuh diri di pentas AJL tahun ini?

“Stesen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adegan sedemikian di media,” menurut MIASA dalam kenyataannya di Facebook, seperti ditukil Malaysiakini.

Menurut MIASA lagi, persembahan itu melanggar Garis Panduan Laporan Media bagi Pembunuhan Diri yang melarang sebarang bentuk adegan mencederakan diri atau memudaratkan diri dengan menunjukkan cara dan kaedah untuk melakukannya.

"Bagi individu yang memiliki masalah mental, adegan seperti ini boleh menyebabkan pencetus yang boleh mengganggu pemikiran dan mungkin mendorong mereka melakukan perbuatan yang berbahaya juga.

"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang kami ingin memohon masyarakat untuk membantu membuat perlaporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF)," menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Aina melalui akaun media sosialnya menjelaskan bahawa gimik persembahan berkenaan adalah kesinambungan daripada muzik video lagunya.

Menurut Aina, persembahan itu adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita.

“Persembahan tadi adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita kerana menyesal dengan perbuatannya sendiri terhadap orang yang amat disayanginya.

“Hati yang berdarah melambangkan kesakitan yang ditanggung wanita itu selepas melukakan hati insan yang disayanginya. Saya berharap anda semua terhibur dan dapat merasakan apa yang cuba disampaikan,” katanya dalam catatan di akaun Instagramnya.

Dalam video klip lagu itu, penyanyi tersebut memperlihatkan situasi seorang pesakit Skizofrenia, penyakit mental yang menyebabkan individu kerap berhalusinasi dan gagal mengawal perasaan, menurut laporan Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan