Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Perbicaraan kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izzette bermula 2 Jan 2020

Perbicaraan kes Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad yang didakwa atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, bermula 2 Jan 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izzette bermula 2 Jan 2020

Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad didakwa atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Sep 2019 05:27PM Dikemas Kini : 20 Sep 2019 05:33PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad yang didakwa atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta (S$920,000) bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta (S$50 juta) dalam unit amanah Public Mutual Berhad, akan bermula 2 Jan 2020.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan 23 hari untuk perbicaraan bermula 2, 3, 10,17, 24, 29 dan 30 Jan tahun depan.

“Perbicaraan juga ditetapkan pada 7,14, 21 Feb; 16 hingga 20 Mac; 23 hingga 26 Mac ; 30, 31 Mac dan 10, 17 April 2020. Saya berharap pihak pendakwaan akan menyerahkan semua dokumen dan penyataan saksi kepada pasukan pembelaan pada pertengahan Disember," katanya semasa sebutan kes itu hari ini (20 Sep).

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi semasa perbicaraan dan pihaknya juga selesai menyerahkan kesemua dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, 41 tahun, dan peguam M. Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar, 60 tahun, yang nama sebenarnya Moktar Radin masing-masing mengesahkan kesemua dokumen sudah diterima.

PERMOHONAN PINDAH KES RASUAH KE MAHKAMAH TINGGI DITOLAK

Pada 9 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya yang merupakan seorang pelakon ke Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Mei lalu, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta (S$920,000) bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta (S$50 juta) bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta (S$725,380) daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38 tahun, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta (S$50 juta) bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

TURUT DIDAKWA PEROLEH SUAPAN LEBIH RM262,000

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 (S$86,000) daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 (S$111,280) daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300) mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (S$3,300) mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan