Images
  • yasin sulaiman 1
    Gambar-gambar: Yasin Sulaiman/Instagram

Penyanyi Yasin cerita hidap Bipolar, pernah 2 minggu dirawat di wad psikiatri hospital KL

BERITAmediacorp: “Sebenarnya masa pertama kali dulu saya sangat terkejut dan cuba tak bercakap tentang tajuk ini sangatlah. Tapi sekarang saya lebih bercerita sebab dah betul-betul sebati dengan masalah ini. Jadi inilah perkongsian kedua selain dari video yang dibuat untuk radio Zayan di IG.”

Itulah pengakuan jujur Yasin Sulaiman kepada BERITAmediacorp baru-baru ini mengenai penyakit Bipolar Disorder atau Gangguan Bipolar yang pernah mencengkam dirinya pada tahun 2009.

Menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur, penyanyi lagu Mimpi Laila dan Salsabila ini mengaku beliau pernah menerima rawatan di wad psikiatri selama dua minggu di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur apabila dibawa oleh anggota keluarganya ketika itu.


Yasin mengalami relapse atau diganggu lagi penyakit itu - selama dua kali - kerana tidak mengambil ubat-ubatan ataupun “terlupa” setelah dibenarkan keluar dari hospital.

“Saya dimasukkan ke wad psikiatri, diasingkan. Adakalanya diikat sebab tak boleh duduk diam dan tak boleh nak rehat, jadi diberikan banyak ubat untuk tidur. Sangat hyper dan manic, selepas dua minggu baru beransur baiklah,” cerita penyanyi serta komposer yang turut menganggotai kumpulan nasyid Brothers itu.

PERNAH TIDAK BOLEH TIDUR 2 MINGGU TERUS

Sebelum mendapat rawatan di hospital, beliau mengalami gejala-gejala seperti “tak boleh tidur, bila tidak boleh tidur yang menjadi manic, hyperaktif dan minda celaru sikit” selama sebulan lamanya. Pernah juga Yasin tidak boleh tidur selama dua minggu terus pada peringkat awalnya.

“Dalam keadaan itu saya tak berapa waras, memang tak boleh buat keputusan, bercelaru, bercakap laju, bertukar-tukar topik”, dedah Yasin.

Ketika itu, kurang diketahui umum tentang penyakit Gangguan Bipolar sehingga membuatkan sesetengah masyarakat melabelkan kondisi tersebut yang dialami pesakit sebagai penyakit ‘gila isim’ terang penyanyi tersebut.

Apakah Yasin sedar tentang kondisinya apabila menerima rawatan di hospital pada pertama kalinya pada tahun 2009?


“Tak berapa, sebab orang yang dalam hyper episod macam tu banyak berkhayal, mungkin dia akan tafsirkan persekitaran dia dengan khayalan, tak tau apa yang terjadi, meracau, merapu macam orang gila lah,” cerita Yasin lagi secara terus terang.

Selepas dibenarkan keluar hospital, Yasin diberi ‘mood stabilizer’ untuk seketika sahaja. Kini beliau tidak perlukan ‘mood stabilizer’ tersebut. Yasin masih lagi berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan suplemen Lithium Carbonate sahaja kini.

AWALNYA TIDAK INGIN KONGSI KONDISI, KINI LEBIH TERBUKA

Beliau tidak menafikan bahawa penyakit Gangguan Bipolar sebelum ini menjejas keupayaannya untuk melaksanakan tugasan sebagai seorang komposer dan penyanyi juga.

“Sudah tentu sebab tak boleh nak fokus. Saya nak tulis lagu pun susah sikit dalam  keadaan macam tu kan, tak boleh fokus buat apa-apa pun sebab keadaan yang sangat hyper,” katanya.

Pada awalnya, Yasin tidak berapa ingin berkongsi tentang kondisi tersebut. Namun beliau sudah dapat menerimanya dengan hati yang terbuka kini disebabkan masyarakat pun lebih memahami dan terbuka mengenai penyakit gangguan Bipolar. Mentelah lagi, ramai pula yang bertanya kepadanya. Tambah orang kuat kumpulan Brothers itu:

“Saya rasa sekarang saya lebih terbukalah, lebih menerima, ramai orang yang ingin tahu bertanya. Saya memang bukan nak berkongsi tapi sebab orang bertanya, saya lebih terbuka menjawablah.”


Selain keluarga, teman-teman juga memahami situasinya. Kerjayanya sebagai artis tidak terjejas meskipun beliau berkongsi tentang kondisinya setelah membuat pengakuan kepada mereka yang bertanya .

“Alhamdulillah, ramai yang maklum, tidak ada apa-apa double standard, tidak ada layanan yang tidak baik, semua terima dengan baik,” katanya dalam temu bual bersama BERITAmediacorp ini.

TETAP HATI-HATI, “TIDAK BOLEH OVER-EXCITED

Yasin kini tetap sibuk menghasilkan lagu untuk dirinya sendiri dan juga artis-artis lain yang memerlukan khidmatnya sebagai penerbit lagu. Antara buah tangan terkini Yasin ialah lagu-lagu barunya berjudul Hidup dan Ya Zhal Jud.

Lebih menggembirakan lagi ialah beliau dan kumpulan Brothers sudah merakamkan semula lagu popular kumpulan Nuradee berjudul Diam.

Rupa-rupanya Yasin sendiri meminati lagu-lagu nyanyian kumpulan Nuradee sebelum ini. Kebetulan mereka bertemu di satu majlis di Kuala Lumpur.

Apa pula pesanan penyanyi tersebut kepada masyarakat mengenai penyakit Gangguan Bipolar?

“Mungkin kita harus sedar dengan persekitaran kita. Manalah tahu ada di kalangan anggota keluarga atau kawan-kawan yang ada simptom macam ini. Kalau kita ambil berat dengan orang yang ada isu mental sebab sebenarnya ia dialami oleh segenap lapisan masyarakat. Cuma mungkin ada isu berlainan, tekanan pun adalah isu mental, ada orang ada anxiety,” katanya panjang lebar.

Sokongan itu amat penting bagi para pesakit, ujar beliau lagi. Yang penting, Yasin kini berasa baik-baik sahaja. Cuma beliau lebih berhat-hati tentang keadaan dirinya kerana “tidak boleh over-excited”.

- BERITAmediacorp/sm

Top