Images
  • zaleha hamid (1)
    (Gambar: Astro AWANI)

Penyanyi veteran Zaleha Hamid beransur pulih

KUALA LUMPUR: Kesihatan penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65 tahun, yang terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lebih setahun lalu, beransur pulih.

Suami Zaleha, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 56 tahun, berkata isterinya sudah boleh bertutur dan daya ingatan semakin bertambah baik.

"Alhamdulillah, sejak lebih sebulan lalu, isteri saya sudah boleh bercakap dan ingatan bertambah baik.

"Sebelum ini, isteri tidak sedar apa yang terjadi dengan dirinya. Kadangkala dia menangis tapi sekarang, emosinya bertambah baik," kata Ungku Sulaiman, menurut laporan Berita Harian Malaysia pada Jumaat (19 Feb).

Beliau menambah: "Apabila saya putarkan lagu dan bertanya siapa penyanyi lagu terbabit, dia boleh menjawab dengan betul. Maknanya, ingatan sudah kembali seperti biasa. Cuma kadang-kadang dia tidak fokus, namun, semuanya baik."

Penyanyi yang terkenal dengan lagu genre dangdut, Hindustan dan Melayu Deli itu diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember 2019.

Tahun lalu, Zaleha dilaporkan terlantar di katil dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat.

Ungku Sulaiman berterima kasih kepada pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah, JB Care Centre yang menjaga isterinya selama beberapa bulan, lapor Berita Harian Malaysia.

"Alhamdulillah di bawah penjagaan mereka, saya nampak perubahan positif isteri saya. Atas nasihat mereka, isteri saya tidak lagi makan menerusi tiub. Itu yang menyebabkan dia tampak kembali berisi.

"Pipi pun kelihatan makin naik. Jika tidak, sebelum ini, isteri tiada selera makan mungkin kerana tiub berkenaan. Jika mengikut doktor, dia tidak benarkan kami membuka tiub. Namun, melihat badan isteri makin susut, kami tanggalkan tiub berkenaan. Sekarang, saya yang menyuap isteri makan," katanya, seperti yang dipetik Berita Harian Malaysia.

Ketika ini, tugas menjaga Zaleha digalasnya bersama anak bongsu selepas JB Care Centre tidak lagi menawarkan perkhidmatan itu, mulai bulan ini.

Sementara itu, Ungku Sulaiman memberitahu mereka bakal berpindah ke kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, Johor Bahru pada hujung bulan ini.

"Alhamdulillah selepas tiga kali memohon sejak 2012, akhirnya kami mendapat unit PPR.

"Ringanlah tanggungan saya jika hendak dibandingkan dengan sewa rumah RM700 (S$230) sekarang," katanya yang sudah berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan demi menjaga isterinya.

- Agensi berita/NK/nk

Top