Images
  • sarah aqilah
    Penyanyi Sarah Aqilah yang juga pemenang Anugerah 2009. (Gambar: Instagram/ Sarah Aqilah)

Penyanyi Sarah Aqilah didakwa dengan 7 tuduhan elak bayar GST bernilai sekitar $14,000

SINGAPURA: Penyanyi Sarah Aqilah didakwa di mahkamah atas tujuh tuduhan mengelak membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai lebih S$14,400 di bawah Akta Kastam.

Sarah Aqilah kembali ke Mahkamah Negara hari ini (26 Sep) bagi mendengar susulan sebutan kes tersebut.

Sarah, atau nama sebenarnya Nur Sarah Aqilah Sumathi, berpakaian serba hitam dan berkaca mata semasa hadir di mahkamah pagi tadi.

KESALAHAN ANTARA 2015 HINGGA 2017

Menurut kertas pertuduhan, Sarah Aqilah didapati melakukan kesalahan mengelak bayaran GST antara tahun 2015 hingga 2017.

Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan di Laluan Hijau Dewan Ketibaan Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi sebanyak tujuh kali.


(Gambar: Instagram/Sarah Aqilah)

Sarah dijangka mengaku bersalah di mahkamah pada 10 Oktober ini.

Beliau kini bebas dengan ikat jamin S$15,000.

JUMLAH TERBESAR GST DIELAK BERJUMLAH S$4,665 

Pada 10 Jun 2015, Sarah mengelak bayaran GST sebanyak S$1,870.69 dengan tidak mengisytiharkan barangan berjumlah S$26,723.72 di Dewan Ketibaan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Kesalahan kedua turut dilakukan di tempat sama pada 5 Jun 2016, dengan cukai sebanyak S$304.49 dielak bagi barangan bernilai S$4,349.77.

Kesalahan ketiga hingga ketujuh dilakukan antara bulan Januari hingga November 2017.

Jumlah terbesar GST yang dielak bernilai S$4,665.74 bagi barangan bernilai S$66,652.80 pada 6 Jun 2017.

Di bawah Akta Kastam, sesiapa yang didapati bersalah mengelak cukai boleh didenda sekurang-kurangnya 10 kali jumlah cukai yang cuba dielakkan, atau S$5,000, melihat kepada mana satu yang kurang jumlahnya.

Denda maksimum adalah 20 kali daripada jumlah cukai yang dielak, atau S$5,000, melihat kepada mana satu yang lebih tinggi jumlahnya.

SEORANG LAGI PEMENANG ANUGERAH BAKAL DENGAR SEBUTAN KES

Sarah Aqilah menjuarai pertandingan realiti Anugerah pada 2009 dan popular dengan lagu 'Biar Hati Mencintai'.

Seorang lagi pemenang Anugerah, Aliff Aziz, turut didakwa di mahkamah, atas tuduhan mencuri.

Aliff dijangka mendengar sebutan kes selanjutnya pada Selasa (1 Okt).

- BERITAmediacorp/im

Top