Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi S'pura janjikan persembahan terbaik pada Gegar Vaganza 6

Barisan peserta Gegar Vaganza musim keenam diumumkan baru-baru ini. BERITAmediacorp selami perasaan Jatt, Hady dan Wann sebelum pertandingan itu membuka tirainya 13 Okt ini...

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV) anjuran saluran TV Astro akan “kembali berontak dalam rentak” tahun ini mulai 13 Oktober dengan senarai 13 peserta terdiri dari penyanyi solo, duo dan berkumpulan.

Untuk musim kali ini, Sham (Visa), Norshila Amin, Naqiu (Boboy) Kumpulan Kool, Roy, Feeza, Mazleela, Ameer (Sofazr), One Nation Emcees dan Nur Fatima bakal bertanding dengan penyanyi-penyanyi dari Singapura iaitu Hady Mirza, Jatt serta penyanyi asal Malaysia, Wann yang kini menetap di Singapura.

GV edisi keenam (GV6) ini masih mengekalkan format asal pengadilan dengan peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh panel pengadil yang akan menilai persembahan mereka.

Penyanyi veteran dari Indonesina, Hetty Koes Endang bersama Ramli MS kekal menduduki kerusi juri tetap untuk tahun ini. Ini merupakan kali kedua Hetty Koes Endang menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap.

ARTIS-ARTIS PERNAH POPULAR

Kesemua artis yang berentap setiap tahun pernah suatu ketika dahulu mengecapi zaman kegemilangan mereka. Penyanyi Nur Fatima yang sebelum ini mempopularkan lagu ciptaan Adnan Abu Hassan berjudul Selembut Sutera boleh disifatkan sebagai membuat 'comeback' setelah beliau berhijrah ke Australia dan menyepi dari aktiviti hiburan di Malaysia untuk seketika.

Untuk rancangan pertama GV6 nanti, kesemua penyanyi dijangkakan membawakan lagu-lagu popular yang pernah mengharumkan nama mereka sebelum ini.

BERITAmediacorp hadir di sidang media GV6 pada Selasa, 24 September lalu di Kuala Lumpur untuk menemui penyanyi-penyanyi Wann, Hady Mirza dan Jatt pada petang tersebut.

WANN NYANYI HIP HOP?

Sebelum ini, Wann menafikan kepada BERITAmediacorp bahawa beliau akan bertanding untuk GV6. Ini adalah respons beliau mengenai penyertaannya yang tidak perlu lagi dirahsiakan pada sidang media tersebut.

“Saya minta maaf banyak-banyak. Terpaksa (menafikannya) buat begitu sebab ini adalah arahan dari pihak Astro. Sekarang secara rasmi I dah boleh cakap I masuk GV. Doakan.”

Wann tidak menafikan bahawa beliau masih gementar untuk menyertai GV meskipun sudah bersetuju berbuat demikian.

"Adakah saya bersedia atau saya boleh sampaikan lagu-lagu pelbagai genre? Itu punca utama saya tak terima lamaran mereka yang lepas. Kali ini saya fikir-fikir saya rasa oklah saya cuba terima cabaran demi untuk hidupkan kembali kerjaya saya.”

(Gambar: Freda Hassan)

Dalam temubual Wann bersama BERITAmediacorp sebelum ini, Wann pernah melahirkan kebimbangannya sekiranya beliau dikehendaki membawakan lagu berentak hip-hop yang belum pernah beliau menyanyikan.

Apa pula komen Wann pada sidang media tersebut ketika diajukan soalan yang sama kali ini?

“Saya boleh cubalah, saya kena cubalah sebab I dah masuk GV, tak mengapa, jangan fikir kalah atau menang. Saya nak cuba genre yang tak pernah saya buat untuk album saya.”

Penyertaannya untuk GV6 dilihat sebagai peluang untuknya berkongsi pentas dengan artis-artis lebih mapan yang membuatnya rasa gembira dan teruja.

“Dulu kita pernah kongsi pentas buat persembahan, jadi rindu. Kalau tak buat GV tak jumpa agaknya. Doakan saya boleh buat yang terbaiklah terutama sekali kepada peminat-peminat. Tolong doakan saya sebab sekarang ini saya bukan macam dulu lagi sewaktu saya remaja. Dah berumur sikit jadi ‘slow ‘sikit. Harap dapat maklum balas positif dari peminat,” jelas Wann lagi.

RAMAI MINTA HADY KEMBALI BERNYANYI

Pemenang Singapore Idol pada tahun 2006 dan Asian Idol pada 2007, Hady Mirza bersyukur diberi peluang untuk menyertai GV6 tahun ini. Kata Hady sambil tersenyum: “Memang tak sangkalah dapat masuk GV. Saya dah dapat masuk dua pertandingan sebelum ini. Astro terbitkan produksi yang baik. Saya yakin mereka akan berikan terbaik untuk setiap peserta. Susunan muzik mereka adalah terbaik. Ini adalah peluang untuk “shine more” dan tunjukkan kekuatan vokal”.

Beliau yang berehat seketika dari nyanyian pada tahun 2012 turut berkongsi bahawa ramai yang “bising dan katakan bahawa beliau boleh menyanyi” dan tidak seharusnya berhenti menyanyi pada tahun 2012.

“Ini adalah kurniaan dari Tuhan. Memang betul mereka katakan. Saya tak boleh berhenti begitu sahaja. Sekarang nak semarakkan balik semangat itu, cinta untuk nyanyian dan muzik. Sebelum ini asyik menyanyi dengan minus one. Saya sertai kembali band lama saya untuk hidupkan semula cinta pada nyanyian.”

(Gambar: Freda Hassan)

Kini, beliau menyanyi setiap minggu di Resorts World Sentosa. Secara tidak langsung, ia boleh dianggap sebagai latihan yang dapat membantunya untuk pertandingan GV6 nanti.

“Sekarang perlu kaji lagu-lagu yang sesuai untuk pertandingan. Itu yang penting.”

Apakah Hady sudah bersiap-sedia menyahut cabaran membawakan pelbagai genre lagu untuk GV6 itu nanti?

“Saya yakin dengan produksi Astro. Saya tidak sabar untuk bersama mereka,” ujar Hady.

JATT LEPAS RINDU PEMINAT

Vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt mendedahkan bahawa beliau pernah ditawarkan untuk menyertai GV tiga kali sebelum ini. Namun, Jatt terpaksa menolaknya disebabkan oleh komitmen kerja sebagai penyanyi di sebuah kelab di Singapura.

“Kali ini bila mereka (Astro) hubungi saya, saya kata bagi saya masa untuk berbincang dengan boss kelab saya. Kalau mereka bagi lampu hijau, baru saya boleh bagi pengesahan untuk sertai GV," jelas Jatt.

Untuk pertandingan GV kali ini, Jatt boleh dianggap sebagai peserta paling mapan.

“Saya memang paling senior. Tok Ram (Ramli MS) kata pada saya disebabkan saya sertai GV kali ini, gelaran “tua” itu saya dah ambil dari Tok Ram. Tok Ram bergurau,” kata Jatt sambil tertawa.

(Gambar: Freda Hassan)

(Gambar-gambar: Freda Hassan)

Jatt melihat penyertaannya sebagai sesuatu yang positif kerana ia membuatnya gembira dapat bertemu rakan-rakan artis lama seperti Roy dan Norshila Amin.

Gurau Jatt: “Sampai saya tak kenal Norshila Amin. Dia dah kurus, dapat jumpa Wann, Kool.”

Beliau akui gementar membawakan lagu-lagu rap: “Ini adalah satu cabaran untuk saya. Kalau mereka berikan saya lagu rap saya terpaksalah bekerja keras bawakan lagu rap ini yang menjadi cabaran untuk saya."

Jatt berharap agar penyertaannya kali ini dapat melepaskan rindunya kepada peminat-peminat di Malaysia disebabkan sudah sekian lama beliau tidak terlibat untuk sebarang rakaman televisyen di Kuala Lumpur mahupun membuat persembahan di sana.

"Mudah-mudahan peminat masih meminati saya dan memberi sokongan padu pada saya untuk GV6 ini,” kata Jatt.

Gegar Vaganza musim ke-6 akan disiarkan secara langsung pada setiap hari Ahad, 9 malam mulai 13 Oktober 2019 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan