Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi S’pura Adeep Nahar jadi guru vokal bagi peserta Gegar Vaganza 6

Tahukah anda bahawa artis dari Singapura, Adeep Nahar merupakan salah seorang guru vokal yang dilantik oleh pihak Astro untuk melatih vokal para peserta Gegar Vaganza tahun ini?

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi S’pura Adeep Nahar jadi guru vokal bagi peserta Gegar Vaganza 6

Penyanyi Singapura, Adeep Nahar (Gambar: Teddy Rox Film)

BERITAmediacorp: Tahukah anda bahawa artis dari Singapura, Adeep Nahar merupakan salah seorang guru vokal yang dilantik oleh pihak Astro untuk melatih vokal para peserta Gegar Vaganza tahun ini?

Adeep menggalas tugas tersebut bersama seorang lagi guru vokal yang dikenali dari Kuala Lumpur iaitu Siti Hajar. Bersama-sama mereka melatih vokal para penyanyi seperti Nur Fatima, Sham Visa, Naqiu Boboy, Feeza, Ameer Sofazr, One Nation Emcees dan sahabatnya Hady Mirza untuk beberapa sesi.

Ketika dihubungi BERITAmediacorp baru-baru ini, Adeep menjelaskan: “Ia untuk mendapatkan balik teknik nyanyian mereka sebab ada yang mungkin tahu teknik, ada pula yang tidak tahu teknik. Jadi yang terlupa teknik itu kelas vokal ini untuk semak balik teknik nyanyian mereka.”

Rupa-rupanya Adeep memulakan kerjaya sebagai guru vokal sejak 2014 lagi bersama Suara Akademi di Kuala Lumpur. Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2004. Menurut beliau, ketika berkawan dengan Cat Farish, beliau belajar untuk menulis lagu dan banyak bergaul dengan rakan-rakan artis di seberang tambak.

Adeep (kanan) bersama penyanyi 'otai', Naqiu (Gambar: Instagram/Adeep Nahar)

Adeep (kanan) bersama Naqiu (Gambar: Instagram/Adeep Nahar)

Gegar Vaganza sememangnya sebuah program nyanyian yang cukup popular. Apa pula komen Adeep sebagai artis Singapura tetapi dilantik menjadi guru vokal untuk penyanyi-penyanyi otai itu?

“Adeep rasa sangat berbesar hati, tak pernah sangkakan akan dipanggil oleh mereka sebab ramai lagi guru-guru vokal yang hebat ada tapi mungkin kriteria yang Astro cari ada pada diri Adeep.

“Sebab sebelum ini Adeep ada masuk Gema Gegar Vaganza, dapat tempat nombor dua. Di situ Adeep kongsi jugak ilmu ajar vokal secara ramai-ramai. Adeep bersyukur dan gembira,” katanya.

Program Gegar Vaganza yang berlangsung setiap Ahad malam adalah antara program yang mendapat perhatian ramai penggemar muzik di seluruh Malaysia dan juga ada peminatnya di Singapura.

Kami turut bertanya kepada Adeep sama ada beliau rasa tertekan ketika melaksanakan tugasan beliau itu.

Jawabnya tenang: “Tidak tertekan. Tertekan dan tanggungjawab adalah dua benda yang berbeza. Adeep rasa ini adalah tanggungjawab di mana kita diberi kepercayaan untuk menjaga (vokal) artis-artis ini. Mula-mula rasa paniklah tapi bila kita dah mengenali kelemahan dan kekuatan mereka, kita dah tahu macam mana nak bentuk balik kesilapan mereka.

“Sebenarnya kebanyakan mereka itu menyanyi dari hati tetapi tidak ada teknik tapi kalau kita guna kedua-duanya sekali menyanyi dengan betul Insya Allah.”

(Gambar ihsan: Joeprcinternational)

Nur Fatima (Gambar ihsan: Joeprcinternational)

Menariknya untuk Gegar Vaganza Musim 6 sekarang ini, salah seorang penyanyi yang bertanding adalah penyanyi dan komposer Nur Fatima yang pernah menjadi guru vokal di Australia untuk seketika. Malah Nur Fatima - penyanyi yang sinonim dengan lagu Selembut Sutera - ada ijazah dalam Kejuteraan Audio.

Kami musykil, adakah Adeep merasa canggung sebenarnya melatih seorang guru vokal seperti itu?

“Adeep tolak tepi ‘melatih seorang guru vokal’. Tapi berkongsi ilmu dengan dia sebab Nur sendiri ada skill dia sendiri. Mungkin ada yang Adeep ada dia tiada dan mungkin apa yang dia ada, Adeep tiada.

“Nur Fatima masih menyanyi di Australia, mungkin sebutan dia berbeza, tak sama. Adeep kurang dalam bahasa Inggeris, pemahaman dan sebutan dalam bahasa Inggeris, dia boleh ajar Adeep. Dari situ, Adeep belajar jugak dari Nur Fatima."

Nur Fatima (Gambar ihsan: Joeprcinternational)

BERITAmediacorp menghubungi pula Nur Fatima untuk bertayakan tentang pengalamannya dilatih oleh Adeep untuk Gegar Vaganza 6. Nur mengatakan bahawa pengalaman berlatih vokal bersama Adeep adalah “sangat memberangsangkan kerana Nur sudah lama tidak menyanyi secara aktif”.

Lantaran itu beliau memerlukan seseorang yang mendengar dan menegurnya jika ada apa-apa yang tidak kena.

“Ini termasuk aspek teknikal seperti kawalan suara, artikulasi, nada, pernafasan dan emosi seperti penghayatan lagu, penceritaan ekspresi wajah, pergerakan tubuh badan dan sebagainya. Mempunyai bimbingan guru vokal sangatlah diperlukan dan akan Nur manfaatkan untuk memantapkan lagi persembahan Nur,” sambung beliau lagi.

Bagaimana pula perasaannya harus berlatih vokal di bawah bimbingan Adeep memandangkan beliau sendiri adalah guru vokal? Ini reaksi Nur:
“Nur tidak mempunyai ego yang tinggi dan berasa sempurna jika dididik oleh seseorang yang berbakat besar seperti Adeep boleh memperbaiki persembahan Nur. Nur terima dan meluangkan masa untuk belajar. "

Nur Fatima mengaku pernah mengajar beberapa orang yang minat dalam muzik bidang nyanyian. Tetapi itu sudah lama katanya.

"Nur lebih fokus bekerja dalam bidang produksi dan persembahan berbanding dengan mengajar. Pengalaman Nur belajar di Australia dapat Nur gunakan untuk menerbitkan lagu-lagu Nur yang akan datang dan juga artis-artis lain dalam industri.”

Untuk GV6, Nur mendapati bahawa penghayatannya masih kurang. Jadi apabila diberitahu oleh Adeep mengenainya, ini membuat Nur sedar akan kekurangan nyanyiannya dan memperbaikinya, serta “amat berterima kasih kepada Adeep”.

Para anggota 2D dari kiri Rayhul Firdaus, Ruslighani Iskandar, Rifa'ah Ridzuwanulhakim dan Adeep Nahar. (Gambar: BERITAmediacorp)

Adeep bersama para anggota kumpulan 2D (Gambar: BERITAmediacorp)

Dalam pada itu Adeep sendiri tidak menafikan bahawa beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru vokal di Malaysia - selagi khidmatnya diperlukan.
Nyanyian beliau sendiri akan tetap diteruskan kerana Adeep kini muncul dengan single terbarunya berjudul Aku Tak Sempurna hasil nukilan Hafiz Hamidun.

Ssungguhpun sibuk, Adeep masih tidak melupakan tanah airnya dan turut terlibat dalam acara Pesta Rima Irama anjuran BERITAMediacorp. Acara yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada 6 Oktober lalu itu disertainya bersama Altimet dan Asnida Daud sempena Bulan Bahasa.

Malah pada 17 November 2019, Adeep kembali beraksi sekali lagi di Singapura untuk konsert kumpulan 2D pula.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan