Images
  • msia police car
    Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Penyanyi rock popular tahun 90-an ditahan atas kesalahan dadah

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi kumpulan rock popular era 90-an ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah di sebuah kabin di Taman Tenaga, Cheras pada Jumaat (2 Ogos).

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, penyanyi berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam selepas pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah methamphetamine seberat 0.6 gram di lokasi dia ditahan.

“Suspek ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM100 (S$33) di dalam sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan," jelas ACP Mohamed Mokhsein.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamin dan tetra hydrocannabinol (THC) berikutan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau ketika dihubungi pihak media pada Jumaat (2 Ogos).

Kumpulan rock yang dianggotai empat orang itu ditubuhkan pada 1994 dan kali terakhir mengeluarkan album kira-kira lima tahun lalu. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top