Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi popular Cakra Khan sejak setahun lalu alami depresi, kemurungan

“Kesihatan mental bukan sesuatu yang harus dipandang remeh. Jangan disimpan, bicara pada seseorang, dapatkan pertolongan, dengar lagu-lagu yang bisa (boleh) membuat kamu gembira, jangan simpan masalah kamu untuk diri kamu sendiri.” 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: “Kesihatan mental bukan sesuatu yang harus dipandang remeh. Jangan disimpan, bicara pada seseorang, dapatkan pertolongan, dengar lagu-lagu yang bisa (boleh) membuat kamu gembira, jangan simpan masalah kamu untuk diri kamu sendiri.”

Itulah gesaan penyanyi bersuara serak-serak basah dari Indonesia iaitu Cakra Khan kepada sesiapa yang mengalami depresi atau kemurungan sepertinya.

Pelantun yang popular menerusi lagu-lagu balada atau galau seperti Harus Terpisah, Setelah Kau Tiada, Mengingat Dia, Seluruh Cinta (duet dengan Siti Nurhaliza), Kau Memilih Dia dan Kekasih Bayangan itu mendedahkan bahawa beliau mula mengalami kemurungan sejak setahun lalu sehingga beliau merasakan dirinya tidak berguna, memencilkan diri dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Akui penyanyi tersebut ketika dihubungi menerusi panggilan jauh baru-baru ini:
“Sejak setahun sudah mulai tidak sihat. Ia adalah tahun yang paling berat buat saya. Setiap orang mempunyai kekuatan mental yang berbeda (berbeza), mungkin waktu itu saya lemah jadi saya ambil keputusan untuk makan ubat, saya cuba menyibukkan diri saya, saya menghindari dengan menyendiri,” kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

TIDAK BOLEH TIDUR, BANYAK FIKIR

Ketika mula-mula dilanda kemurungan, Cakra tidak boleh tidur kerana terlalu banyak berfikir. Hanya setelah diberi ubat oleh pakar psikitari barulah keadaannya lebih tenang dan selesa seperti sekarang ini akuinya. Sehingga kini, beliau masih mengambil ubat yang diberikan oleh pakar dan masih menghubungi pakar tersebut jika perlu.

Siapa pula yang menyarankan Cakra untuk berjumpa dengan pakar psikiatri tanya kami kepadanya?

“Ketika itu, saya nggak mau bicara tentang masalah saya pada ibu saya. Saya tidak mahu mereka bimbang jadi saya berjumpa pakar psikiatri,” dedah beliau.

Cakra memilih untuk beristirehat dan pulang ke kampung buat seketika dalam keadaan beliau mengalami kemurungan. Jadualnya sebagai penyanyi juga dikurangkan. Beliau akan hanya menyanyi untuk persembahan yang sudah dipersetujuinya memandangkan kontrak telahpun ditandatangi.

MENANGIS ATAS PANGGUNG & RAHSIAKAN DEPRESI DARIPADA RAKAN-RAKAN

Meskipun beliau rapat dengan beberapa teman termasuk penyanyi popular Syahrini, Cakra memilih untuk tidak bercakap mengenai masalahnya kepada sahabat baiknya itu meskipun mereka kerap berjumpa.

Tambahnya kepada BERITAmediacorp: “Waktu itu tidak bercakap padanya. Saya tidak tahu mengapa saya hanya menyendiri dalam kamar saya. Saya tidak bicara pada sesiapa.”

Cakra yang dilahirkan sebagai Cakra Konta Paryaman juga dilaporkan kerap menangis di atas panggung, mungkin juga kerana terbawa-bawa ketika menghayati lagu-lagu nyanyiannya yang banyak bertemakan putus cinta dan perselingkuhan.

Beliau berkongsi bahawa kemurungan yang dialami itu berpunca dari permasalahan cinta yang pernah dialaminya sehingga membuatnya terpanggil untuk berjumpa dengan pakar psikiatri di Indonesia.

“Saya kata saya 'depressed' (kemurungan). Saya ambil ubat dan dia bilang alangkah lebih baik jika kamu menyanyikan lagu-lagu yang positif kerana kalau kamu 'depressed' dan kamu nyanyi lagu-lagu sedih akan memudaratkan lagi kamu, jadi sebab itu ia akan menjadi lagu sedih yang terakhir,” kongsinya jujur.

Cakra merujuk kepada single terbaru berjudul Adalah Aku yang tidak terlalu sedih dan merintih-rintih seperti lagu-lagu popularnya sebelum ini.

Pencipta lagu Adalah Aku juga menghasilkan lagu balada Kekasih Bayangan sebelum ini untuknya. Adalah Aku merupakan lagu terakhir yang bertemakan kesedihan dan putus cinta yang dirakamkannya atas nasihat dari doktornya.

Mulai tahun ini, beliau akan hanya membawakan lagu-lagu rancak yang bertemakan perkara-perkara yang positif sahaja. Ini dapat membantu Cakra Khan keluar dari kemurungan yang dialaminya itu.

"SUSAH KERANA HARUS MELAWAN DENGAN DIRI SENDIRI"

Sambungnya sambil tertawa: “Itu salah satu saranan dari doktor untuk saya coba bawakan lagu-lagu yang 'happy'. Saya fikir ia masuk akal kerana jika kita rasa sedih dan menyanyi lagu-lagu sedih, ia membuat kita lebih teruk kerana kamu harus menghayati benar-benar sebagai seseorang yang dilanda masalah.”

Meskipun beliau sedar akan tetap ada stigma dari masyarakat terhadap mereka yang mendapatkan khidmat pakar psikiatri, Cakra Khan menjelaskan bahawa beliau memilih untuk tidak mengambil peduli jika ada komen-komen negatif kerana beliau harus lalui situasi yang sukar untuk melawan kemurungan tersebut.

“Susah kerana kita harus melawan dengan diri sendiri. Saya mahu saya baik. Teman-teman saya memahami situasi saya. Bila pulang setelah berjumpa doktor, saya coba untuk bersosial dan bicara sama teman-teman.”

Cakra juga tidak bimbang terhadap penerimaan peminat-peminatnya yang biasa disogokkan dengan lagu-lagu baladanya sebelum ini tetapi harus menerima genre muzik yang berbeza selepas lagu Adalah Aku pula.

“Aku tidak bimbang kerana aku yakin apapun yang kita nyanyikan selagi kita siapkan secara maksimal. Aku juga ingin mencoba sesuatu yang baru untuk kebaikan diri aku, coba teroka lebih sedikit,” katanya dalam temu bual tersebut.

Kerjaya nyanyian Cakra Khan tetap akan diteruskan sama ada murung atau tidak kerana menurutnya, menyanyi itu sendiri banyak membantunya untuk mengeluarkan emosi untuk setiap persembahannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan