Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Nuradee dijangkiti bakteria makan daging, kakinya mungkin perlu dipotong

Penyanyi adik-beradik dari Singapura yang terkenal dengan harmoni suara duo mereka yang cukup memukau – kumpulan Nuradee – kini dilanda dugaan hidup yang cukup hebat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Nuradee dijangkiti bakteria makan daging, kakinya mungkin perlu dipotong

Nur terkena jangkitan bakteria makan daging dan berdepan dengan kemungkinan kaki dipotong. (Gambar: Nuradee Brothers/Facebook)

BERITAmediacorp: Penyanyi adik-beradik dari Singapura yang terkenal dengan harmoni suara duo mereka yang cukup memukau – kumpulan Nuradee – kini dilanda dugaan hidup yang cukup hebat.

Si adik, atau Nur, baru sahaja keluar hospital baru-baru ini dan sedang berehat di rumah, setelah dikejutkan dengan khabar dari doktor bahawa ada kemungkinan kakinya perlu dipotong.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp tentang perkembangan terkini adiknya itu, Adee, yang juga abang kepada Nur, berkongsi bahawa keadaan adiknya kini “agak stabil”. Bagaimanapun, Nur perlu menjalani pembedahan ketiga bulan depan, dedah beliau.

Adee membuka cerita: “Pada mulanya kami ke pasar (di Johor Bahru) untuk membeli barang-barang untuk restoran kami (Restoran Lunak Rasa di Taman Perling Johor Bahru). Kaki Nur termasuk longkang kecil, ada luka sedikit. (Selepas) beberapa hari terus membengkak, sampai Nur muntah-muntah dan demam panas.”

Pada awalnya, mereka berfikir ia setakat demam biasa. Namun, keadaan Nur menjadi bertambah teruk dan mereka bercadang untuk menghubungi ambulans. Sejurus tiba di Hospital Universiti Nasional (NUH), Nur terus dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU).

“Selepas beberapa jam, doktor berkata Nur terkena jangkitan bakteria bangkai (dead animal bacteria) yang makan daging. Virusnya cepat membiak. Kami takut ia akan sampai ke jantung.

“Doktor kata kaki Nur perlu dipotong tetapi kami cuba untuk tidak berbuat demikian, jadi kami mencuba ubat-ubatan alternatif. Ramai nak datang melawat, bukan kami tidak mahu, tetapi Nur dalam kemurungan dan tidak bersedia menerima sebarang pelawat.”

Adee juga menjelaskan, pembedahan pertama bagi menangani jangkitan Necrotizing fasciitis (bakteria makan daging) itu terpaksa dibuat sejurus selepas Nur dimasukkan ke wad kecemasan. Pembedahan kedua pula menyusul seminggu kemudian.

“Nur minta keizinan untuk balik walaupun beliau sedar akan risiko yang bakal dihadapinya. Pembedahan ketiga melibatkan pemindahan kulit (skin grafting).

“…HARAP MENDOAKAN YANG TERBAIK UNTUK NUR”

Dalam tukilan catatan di Facebook Nuradee Brothers pada 15 Feb, Adee antara lain meluahkan: "Terasa berat sekali untuk meluahkan apa ada dalam hati tapi hari ini terpaksa juga berkongsi apa yang terbuku dan apa yang terjadi. Sudah hampir sebulan Nur di hospital.

“Ramai yang bertanya mana Nur dan kami tak dapat hadir banyak undangan persembahan. Terasa seperti patah sayap. Kepada semua teman dan yang mengenali kami harap dapat mendoakan yang terbaik untuk Nur.”

Setakat ini, beratus-ratus kiriman membanjiri ruangan komen dalam catatan mengenai berita sedih itu dan mendoakan kesembuhan bagi Nur.

Antara yang meninggalkan komen termasuk penyampai radio Aura Shai: “Ya Allah... Semoga dipermudahkan segala urusan buat Abang sekeluarga. Syafakillah Abang Nur!

Shakhila Hamid berkata: “Masyallah sebak bila membaca. Syafakallah buat Nur.. Semoga Allah ringankan kedukaan Nur ya.”

RANCANGAN BUAT ‘COMEBACK’ TERPAKSA DITUNDA

Nuradee cukup sinonim dengan lagu-lagu puisi seperti 'Gurindam Pusaka', ‘O-Pagi’, 'Diam' dan 'Aku Yang Masih', daripada album sulung mereka pada tahun 1992. Dikenali dengan imej mereka yang santai dengan diiringi petikan gitar dan harmoni yang lunak, pasangan adik-beradik Nuradee disifatkan sebagai antara kumpulan duo paling berbakat dari negara ini.

Namun kumpulan itu agak senyap pada tahun-tahun 2000, dan kemudian menceburi bidang perniagaan sehingga terpalit dengan kontroversi. Namun demikian Nuradee bangkit kembali dengan sebuah album baru pada 2016.

(Gambar-gambar: Nuradee Brothers/Facebook)

Berkongsi perkembangan terkini mereka, Adee memberitahu BERITAmediacorp, Nuradee Brothers sebenarnya berhasrat membuat ‘comeback’ atau kemunculan semula ke dunia seni tempatan dengan sebuah single pada bulan April. Namun kini rancangan itu terpaksa ditunda.

“Kami mahu membawakan lagu-lagu puisi. Kami sudah merakamkan 20 lagu di studio di seluruh dunia, dengan beberapa pemuzik antarabangsa dan orkestra dewan bandar raya,” kongsi Adee.

Adee turut melahirkan harapan agar peminat “doakanlah yang terbaik untuk Nur”.

Bagaimanapun, meski berdepan dengan situasi menyedihkan kini, ia nampaknya tidak mematahkan semangat adik-beradik ini untuk terus berkarya.

“Kami akan bertemu peminat-peminat pada bulan April dalam rancangan 'Singapura LIVE' di Suria. Insya-Allah,” Adee memberitahu BERITAmediacorp.

“Kami menerima semua ini dengan sabar. Semoga ada hikmah di sebalik ini,” luah Adee lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan