Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Nora kongsi cerita jual nasi & 'move on' setelah kematian suami & anak lelaki

Kebolehan penyanyi Nora Ariffin menyanyi tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun tidak ramai yang tahu beliau juara di dapur juga rupa-rupanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Nora kongsi cerita jual nasi & 'move on' setelah kematian suami & anak lelaki

Pelekat jenama makanan Secukup Rasa oleh penyanyi M'sia, Nora Ariffin (Gambar ihsan: Nora Ariffin)

BERITAmediacorp: Kebolehan penyanyi Nora Ariffin menyanyi tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun tidak ramai yang tahu beliau juara di dapur juga rupa-rupanya.

Memandangkan penyanyi ini berasal dari Kelantan, sudah tentu nasi kerabu yang dekat dengan hati rakyat Kelantan menjadi salah satu menu yang difikirkan apabila menceburi perniagaan F&B pada awal tahun ini bersama rakan-rakan kongsinya untuk usahasama Mega Event Catering di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Nora pernah berniaga kek lapis hampir 10 tahun sewaktu bulan Ramadan sahaja. Ia disusuli dengan lauk rendang Tok yang dijual secara online dan mendapat sambutan menggalakkan di Kuala Lumpur.

(Gambar ihsan: Nora Ariffin)

(Gambar-gambar ihsan: Nora Ariffin)

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan di Kuala Lumpur pada awal tahun ini ekoran pandemik COVID-19, periuk nasi ramai penyanyi seberang tambak turut terjejas kerana tiada undangan nyanyian.

Ketika dihubungi BERITAmediacorp baru-baru ini, Nora yang berada di Kuala Lumpur berkata: “Kita duduk rumah pun tak boleh keluar, rasa gelisah jadi lebih baik kita buat sesuatu yang kita suka.”

Nasi kerabu ayam percik Secukup Rasa by NORA menjadi menu utama untuk dinikmati. Setelah mendapat sambutan, ditambah pula nasi beriani arab, ayam masak merah, daging gulai kawah dan nasi tomato agar ada kepelbagaian.

Beliau akan pastikan kualiti makanan-makanan yang ditempah oleh pelanggan terjaga.

Kongsi Nora bersungguh-sungguh kepada kami: “Keutamaan pertama saya ialah makanan itu kena sedap ibarat saya sendiri yang nak makanlah.”

Lain daripada yang lain, nasi kerabu ayam percik itu disajikan lengkap dengan dulang, sesuai untuk dimakan oleh empat sehingga lima orang pada harga RM68 sahaja.

(Gambar ihsan: Nora Ariffin)

“Dalam pasaran tak banyak yang menepati cita rasa. Nora sendiri pun bila di kedai sama ada ia kurang sedap atau kalau sedap pun terlalu mahal. Ayam percik memang jarang di pasaran, kita nak kelainan. Kalau pergi kedai anda tak akan dapat harga sedemikian,” jelasnya lagi.

Dengan pesanan mencecah 20 sehingga 25 dulang setiap kali tempahan dibuka, ia sesuatu yang menyeronokkan bagi penyanyi yang bersuara lemak merdu itu.

Apakah Nora sendiri yang memasak lauk-lauk tersebut kini?

“Secara jujurnya memang tidaklah masak setiap hari sebab PKP tapi saya jaga QC 100 peratus. Sekarang kita tak boleh keluar daerah. Kita buat apa yang termampu. Masak rendang Tok kita turun padang sendirilah.”

Bersikap realistik, Nora tidak menafikan bahawa ramai yang terkesan dengan pandemik yang menjejas pendapatan artis juga.

“Kalau orang makan gaji tak terasa kesan sangat. Orang macam kita memang terkesan. Bukan Nora saja, ramai yang ada kebolehan akan buat macam-macam. Tak kisah pun. Tak jatuh standard asalkan you ada bakat, asalkan dapat pendapatan yang halal,” kongsinya dalam temu bual bersama BERITAmediacorp.

(Gambar ihsan: Nora Ariffin)

(Gambar ihsan: Nora Ariffin)

Nora turut turun padang sekali sekala menghantar dulang makanan kepada pelanggan kerana ia sesuatu yang dapat menggembirakannya juga. Ia juga peluang untuknya berjumpa dengan pelanggan yang kadangkala memberikan maklum balas tentang tempahan mereka.

Ramai yang maklum Nora kehilangan suami iaitu komposer Johan Nawawi pada Mac 2017 lalu. Beliau diduga sekali lagi apabila anaknya Muhammad Syakir Alif turut kembali ke Rahmatullah pada Disember 2019. Sudah semestinya ketiadaan mereka secara mendadak memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Adakah ini salah satu cara untuk Nora “de-stress“, tanya penulis kepada Nora?

“Saya harus 'move on' dan lakukan apa yang membuat saya gembira. Saya membuat diri saya sibuk dengan benda-benda positif yang buat kita aktif. Sedih- sedih ni dah berakhir. Saya penat berbuat demikian. Hanya teruskan kehidupan dan ikuti aliran. Rezeki itu Allah bagi,” jawabnya jujur.

Nora bersama anak keduanya, Alif Johan, yang meninggal dunia pada 14 Dis 2019. (Gambar: itsnoraariffin/Instagram)

Gambar fail Nora bersama Muhammad Syakir Alif (Gambar fail: Instagram/@itsnoraariffin)

Meskipun beliau masih kelihatan tersenyum selalu kini, Nora tidak terkecuali dari menyimpan rasa rindu pada suami yang telah dijemput Ilahi. Dengan nada perlahan Nora berkongsi beliau “rindu pada sesuatu yang sudah tiada”. Hanya yang pernah melaluinya akan faham maksud tersebut.

“Orang boleh kata sabar tapi kalau anda tak pernah mengalaminya anda tidak akan tahu. Ia lain kalau anda terpisah jauh, berpisah disebabkan cerai, berjauhan lain tapi bila anda rindukan seseorang 'soulmate' yang tak akan dapat kembali dan bila saya tengok balik album lama, saya tak boleh teruskan kerja saya.

"Hari ini kalau nak sedih, sedihlah sebab itu adalah perasaan kita pun,” ceritanya tanpa berselindung. Nora bersyukur mempunyai kawan-kawan yang memahami keadaannya.

Yang penting, Nora harus membuat dirinya sibuk dengan aktiviti seharian serta hal-hal yang ada hubungkaitnya dengan pekerjaan beliau.

(Gambar ihsan: Nora Ariffin)

Apakah beliau tidak rasa penat terpaksa mengukir senyuman untuk menutup kesedihan beliau di hadapan peminat?

“Tuhan saja tahu (ketawa). Sekarang saya buat apa saja yang boleh membuat saya gembira. Kalau dari segi psikologi tak boleh cakap letihlah kan, saya reda dan terima apa saja yang berlaku telah ditakdirkan. Kadang-kadang anak perempuan nakkan 'fatherly figure'. Mereka rindukan bapa mereka. Sebagai ibu saya cuba sebaik mungkin. Kita doa yang baik-baiklah.”

Nampaknya rezeki terus berpihak kepada penyanyi yang sinonim dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu kerana dilantik menjadi duta produk penjagaan kulit muka dari Korea. Selain itu, Nora masih meneruskan perniagaan koleksi 'siap pakai' Nora yang boleh dibeli melalui Shopee.

Sekiranya anda kepingin merasa makanan beliau boleh hubungi talian 016 3865353 untuk mencuba nasi kerabu ayam percik Nora. Kalau bernasib baik, mungkin Nora sendiri yang akan menghantar tempahan kepada anda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan