Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi ‘minah salleh’ Cassidy sombong? Jadi mangsa diskriminasi?

BERITAmediacorp mendekati penyanyi dari Australia bernama Cassidy La Crème yang pernah membawakan lagu Ombak Rindu beberapa tahun lepas, sehingga ia pernah menjadi viral suatu ketika dulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi ‘minah salleh’ Cassidy sombong? Jadi mangsa diskriminasi?

Penyanyi Cassidy La Creme (Gambar: Facebook/Cassidy La Creme)

Diterbitkan : 14 Aug 2018 12:21AM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 12:59AM

BERITAmediacorp: Anda masih ingat lagi dengan penyanyi dari Australia bernama Cassidy La Crème yang pernah membawakan lagu Ombak Rindu beberapa tahun lepas, sehingga ia pernah menjadi viral suatu ketika dulu?

Cassidy pernah menetap di Singapura dari tahun 2009 sehingga 2012 apabila beliau bertugas di Universal Studios Singapura, membawakan watak Marilyn Monroe ketika itu.

Beliau aktif membawakan lagu-lagu Melayu sejak tahun 2012 dan mendapat perhatian terus apabila beliau merakamkan lagu-lagu cover popular seperti Sudah Ku Tahu, Pematah Hati, Tiada Lagi dan banyak lagi. Tugasannya di Universal Studios Singapura membuatnya mempunyai ramai kenalan Melayu sehingga mereka menggalakkannya untuk cuba menyanyikan lagu-lagu Melayu.

Itulah titik-tolak Cassidy La Creme, si ‘minah salleh’ dari Australia ini untuk terus memperjuangkan kecintaannya terhadap bahasa Melayu serta lagu-lagu Melayu.

BERITAmediacorp mendekati penyanyi tersebut yang baru-baru ini mempopularkan singlenya berjudul Seperti Dia, untuk mengenalinya lebih dekat lagi.

TEKAD JADI ‘ARTIS MELAYU’

Cassidy berkongsi bahawa pada September 2016, beliau secara kebetulan berkesempatan bertemu dengan penyanyi Amy Search di Sydney, Australia untuk satu persembahan di sana. Kata Cassidy:

“Dia (Amy Search) bertanya mengapakah saya tidak berpindah ke KL untuk kerjaya saya? Saya takut untuk berpindah. Bagaimana sekiranya ia gagal nanti? Dia baik hati dan memberitahu saya bahawa saya mempunyai potensi dan dia nasihatkan saya untuk berpindah ke KL. Saya pulang ke rumah, berbincang dengan keluarga saya dan tempah tiket penerbangan saya untuk Januari 2018.”

Cassidy La Crème (Gambar: Facebook/Cassidy La Crème)

Penyanyi Cassidy La Crème (Gambar-gambar: Facebook/Cassidy La Crème)

Bukan mudah sebenarnya berjauhan dari keluarganya dari Australia dan menetap di Kuala Lumpur bersendirian namun Cassidy bertekad disebabkan minatnya untuk menjadi artis yang membawakan lagu-lagu Melayu.

Banyak juga pelaburan dari segi wang ringgit dan masa demi untuk mengejar cita-citanya di Kuala Lumpur. Sudah semestinya banyak juga cabaran dan masa sukar yang dilalui penyanyi peramah ini. Kesemuanya ini membuatnya lebih kuat lagi secara peribadi.

CABARAN BAWAKAN LAGU MELAYU

Apa pula cabaran baginya untuk membawakan serta merakamkan lagu-lagu Melayu memandangkan beliau belum begitu fasih ketika itu?

“Bahasa Melayu itu sendiri. Saya sering diberikan lagu dua hari sebelum persembahan. Saya bernasib baik telah belajar muzik opera dan klasik sewaktu usia 11 tahun membawakan lagu-lagu German, Perancis dan Itali. Sebab itu saya rasa mudah untuk menyebut perkataan Melayu dan menyanyikannya meskipun saya tidak faham ertinya.

Cassidy La Crème (Gambar: Facebook/Cassidy La Crème)

“Apabila saya rakamkan cover lagu Melayu pertama saya, saya tidak boleh bercakap Melayu langsung,” dedahnya pada kami. Mujur juga beliau mempunyai kawan-kawan dan guru untuk menterjemahkan lagu-lagu Melayu tersebut kepadanya agar beliau lebih memahami lagu tersebut.

"Ini dapat membantunya menonjolkan emosi yang sesuai untuk sesebuah lagu apabila menyanyikannya" tambah Cassidy.

CASSIDY JADI MANGSA DISKRIMINASI?

Rupa-rupanya Cassidy pernah mengikuti kelas bahasa Melayu sewaktu beliau masih menetap di Melbourne sebelum ini. Bahkan beliau rajin ikuti kelas-kelas tersebut melalui Skype juga dua minggu sekali selama tiga bulan lamanya.

Hanya setelah berpindah ke Kuala Lumpur pada Januari 2018 barulah Cassidy berjaya untuk memesan makanan atau memberi arahan untuk ke destinasi yang ingin ditujunya dalam bahasa Melayu. Sekarang ini, beliau mempunyai seorang guru iaitu Dr Dayana yang banyak membantunya menguasai Bahasa Melayu.

Sebagai ‘minah salleh’ yang memilih untuk membawakan lagu-lagu Melayu di Kuala Lumpur, Cassidy tidak menafikan bahawa sudah semestinya beliau terkena tempias juga dengan sikap diskriminasi sesetengah pihak yang melihatnya sebagai warga asing. Ini luahan beliau:

Cassidy La Crème (Gambar: Facebook/Cassidy La Crème)

“Saya rasa perkara ini memang tidak dapat dielakkan. Saya sudah bersiap-sedia apabila saya membuat keputusan untuk ke arah ini. Sebagai orang luar, akan ada orang yang bersikap sedemikian pada warga asing yang memasuki kawasan mereka dan akan membuatnya sukar untuk saya.

“Saya harus bekerja 10 kali ganda untuk buktikan mengapa saya berada di sini.Sememangnya bukan mudah untuk saya,” kongsi Cassidy dengan jujur.

Cassidy sudah terbiasa dengan komen-komen daripada segelintir orang yang beliau sendiri belum pernah jumpa pun. Begitu juga dengan komen-komen negatif di media sosial mengenainya.

CASSIDY SOMBONG?

“Ada juga mereka yang katakan saya sombong meskipun mereka belum pernah berbual dengan saya. Mereka membuat andaian mereka sendiri sedangkan saya cukup rileks orangnya dan peramah. Saya gemar bergurau dan suka ketawa cuma kekadang penguasaan bahasa (Melayu) agak terhad jadi saya mendiamkan diri pada waktu-waktu tertentu.

Cassidy La Crème (Gambar: Facebook/Cassidy La Crème)

“Inilah yang membuat mereka berfikir lain tentang saya. Saya perlu untuk bekerja keras untuk buktikan dedikasi saya, perjalanan saya melalui kerja-kerja saya,” ujar Cassidy kepada BERITAmediacorp.

Di sebalik pelbagai cabaran ini, Cassidy menerangkan bahawa beliau rasa beruntung berada di Kuala Lumpur untuk kerjaya nyanyiannya setakat ini. Bersyukur kerana pelbagai peluang menarik tetap ditawarkan kepadanya sehingga kini yang membuatnya untuk terus tekad menetap di Kuala Lumpur.

Apakah beliau rasakan pengorbanannya berpindah ke Kuala Lumpur berbaloi sehingga kini?

“Sudah tentu. Saya pernah melalui pelbagai cabaran namun saya tidak berputus-asa. Apabila saya lalui saat sukar, saya merenung kembali. Ia membuat saya untuk teruskan perjuangan saya. Sukar untuk saya berpisah dengan pengurusan Warner Music Malaysia baru-baru ini.

“Saya mempunyai pasukan yang baru dan berasa ghairah kerana masih banyak lagi yang boleh diterokai dan dicapai di Kuala Lumpur dengan pasukan ini. Saya juga mendapat sokongan padu dari pengikut-pengikut saya yang menguatkan semangat saya lagi untuk memberikan lebih baik lagi,” jawab.

SELAIN LAGU, LANCAR AKSESORI

Beliau sedang mengusahakan untuk edarkan single keduanya yang bakal diperdengarkan pada Oktober 2018 nanti sekiranya kesemuanya berjalan lancar mengikut perancangan. Kali ini, beliau menjanjikan pembaharuan, lain dari single pertamanya Seperti Dia.

Cassidy dalam pada itu melancarkan koleksi aksesorinya sendiri iaitu WE CANT BE TAMED termasuk anting-anting, beg tangan dan cermin mata hitam. Sambutannya cukup menggalakkan, terangnya kepada pihak kami untuk temu bual ini.

Lebih menggembirakan lagi ialah beliau turut dilamar untuk terlibat dalam pelbagai projek filem, televisyen dan usahasama bersama beberapa syarikat pelancongan serta jenama-jenama tempatan dan antarabangsa.

“Masa depan kelihatan cerah” katanya mengakhiri temu bual ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan