Images
  • haqiem rusli anis sofea wedding
    Penyanyi M'sia Haqiem Rusli (kiri) dirikan rumah tangga dengan peniaga, Anis Sofea pada 19 Nov 2021 (Gambar: Instagram/@qiemilio_official)

Penyanyi M'sia Haqiem Rusli dirikan rumah tangga dengan peniaga, Anis Sofea

CYBERJAYA: Dengan dua kali lafaz, penyanyi popular Malaysia Haqiem Rusli dan ahli perniagaan Anis Sofea secara sah menamatkan zaman bujang mereka pada Jumaat (19 Nov).

Pasangan mempelai itu selamat diijabkabulkan dalam satu majlis di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya, lapor Astro Awani.

Detik bermulanya pelayaran bahtera rumah tangga antara Haqiem, atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem dengan Anis Sofea atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, disaksikan oleh keluarga terdekat serta kenalan rapat.

Meski majlis itu diadakan secara tertutup dek SOP COVID-19, Haqiem, 24 tahun, dan Anis Sofea, 19 tahun, bersyukur kerana hari bahagia mereka berjalan lancar.

Astro Awani melaporkan akad nikah itu disusuli oleh jamuan makan malam di skyGlass Cyberjaya dalam majlis bertemakan 'Wedding in the Sky' atau “Raikan Cinta di Langit Asmara”.

Haqiem dan Anis Sofea saling mengenali antara satu sama lain sekitar dua tahun ketika kedua-duanya bertemu semasa menjalankan urusan perniagaan.

Pasangan mempelai itu merancang untuk menikmati bulan madu di dalam negara.

"Ikutkan saya nak bawa isteri berbulan madu ke luar negara. Tambah pula pintu sempadan negara luar sudah banyak dibuka. Cuma saya terikat dengan komitmen menjadi juri Suara Viral 2.0 (terbitan Astro) setiap Sabtu dan Ahad," kata penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music itu seperti dilaporkan Astro Awani.

"Jadi memang tak boleh nak pergi jauh. Untuk sementara waktu, kami nak ke Sabah," tambah Haqiem, yang terkenal dengan lagu Mimpi dan Tergantung Sepi.

- Agensi berita/TQ/tq

Top