Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi M Daud Kilau akan jalani pembedahan jantung

Raja Gelek Malaysia, M Daud Kilau dijangka menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi M Daud Kilau akan jalani pembedahan jantung

(Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 21 Nov 2020 07:54PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 07:57PM

BAGAN DATUK: Raja Gelek Malaysia, M Daud Kilau dijangka menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Penyanyi veteran berumur 82 tahun itu berkata beliau akan menghadiri janji temu di IJN pada Isnin (23 Nov) ini sebagai sebahagian daripada proses sebelum menjalani pembedahan berkenaan.

M Daud Kilau atau nama sebenar Muhammad Daud Kilau berkata beliau dibenarkan keluar dari Hospital Teluk Intan Isnin lepas dan kini berada di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebagai persiapan janji temu dengan pihak IJN.

“Saya baru sahaja sampai di rumah anak saya di Wangsa Maju hari ini. Sekiranya pemeriksaan berjalan dengan lancar, Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan menjalani pembedahan jantung,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Penyanyi lagu malar segar “Che Mek Molek” itu berkata beliau terharu kerana tidak putus-putus menerima mesej dan panggilan daripada peminat serta sahabat handai yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepadanya agar kembali sihat seperti biasa.

“Saya minta peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali saya mendoakan saya semoga pembedahan tersebut berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, anak penyanyi veteran itu, Ahmad Zaini Mohd Daud, 49, berkata ayahnya masih kelihatan lemah dan kurang selera makan selepas keluar dari Hospital Teluk Intan, Isnin lalu setelah dimasukkan ke wad sejak 12 Nov lepas kerana sesak nafas.

Beliau turut mengulangi harapan supaya peminat ayahnya dapat mendoakan kesihatan Raja Gelek itu serta dipermudahkan urusan menjalani pembedahan kelak.

M Daud Kilau berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lepas seperti penyakit kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang pendengaran.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan