Images
  • diana ross 2019
    Diana Ross semasa satu persembahan amal pada 29 Nov 2019 di Texas, Amerika Syarikat (Gambar: Rick Kern /GETTY IMAGES NORTH AMERICA/Getty Images via AFP)

Penyanyi Diana Ross pancing peminat dengan muzik video pertama dalam lebih sedekad

LONDON: Penyanyi Diana Ross memancing para peminatnya dengan video muzik pertama dalam tempoh lebih sedekad sedang beliau bersiap sedia untuk mengeluarkan album studio baru, berjudul "Thank You" hujung minggu ini.

Ross, 77 tahun, yang menjadi terkenal pada 1960-an sebagai penyanyi utama kumpulan wanita Supremes di bawah Motown Records, merakam video untuk lagu baru "All Is Well".

Klip video itu menunjukkan rakaman selang masa atau 'time lapse' sebuah set studio yang sedang dibina dan Ross, kelihatan berpakaian gaun hitam, duduk di kerusi menyanyikan lirik pembukaan lagu itu.

“Anak-anak lelaki saya memberi saya keyakinan dan galakan untuk membuat video ini,” kata Ross dalam satu kenyataan hari ini (3 Nov).

"Selepas hampir dua tahun tidak membuat persembahan dan tidak muncul di hadapan kamera, mereka menyokong saya untuk kembali bergaul dengan ramai orang."

Ross akan mengeluarkan album studio pertama berjudul "Terima Kasih" pada Jumaat ini (5 Nov). Album terakhir yang dirakam adalah pada 2006 dan berjudul "I Love You". Beliau merakamkan lagu baru di studio rumahnya semasa pandemik COVID-19.

"Saya menghabiskan tahun lalu dengan merakam muzik baru dan muzik ini mencerminkan kegembiraan dan kasih sayang serta rasa berterima kasih yang saya rasakan setiap hari. Ia adalah album yang sangat menghargai kehidupan dan anda semua," kata Ross.

"Bagi saya terdapat keperluan mendesak untuk membuat album yang bermakna, memanfaatkan apa yang berlaku sekarang di dunia kita. Melalui kuasa muzik kita mencetuskan jenis perbualan baru yang menyokong pilihan kita dan keputusan yang kita buat."

Selain lagu-lagu yang membuat para pendengar berfikir, album itu dikatakan menampilkan lagu-lagu ceria termasuk "If the World Just Danced", yang diiringi dengan video yang menunjukkan para peminat dari seluruh dunia menari.

- Reuters/TQ/tq

Top