Images
  • dahlan zainuddin
    Penyanyi Dahlan Zainuddin bergambar dengan Nassier Wahab pada 2015 (Gambar: Facebook/Dato Nassier Wahab)

Penyanyi Dahlan Zainuddin diserang angin ahmar kali kedua, tidak sedarkan diri

KUALA LUMPUR: Penyanyi Malaysia era 1970-an Dahlan Zainuddin kini dalam keadaan tidak sedar selepas diserang angin ahmar ketika masuk waktu berbuka puasa semalam (25 Mei).

Hal ini dikhabarkan isteri beliau, Effa Rizan, yang turut mengatakan keadaan suaminya yang terkena angin ahmar di sebelah kanan itu sedang dipantau doktor.

Astro Awani melaporkan, ini kali kedua penyanyi tersebut diserang angin ahmar. Kali pertama beliau terkena serangan angin ahmar adalah pada bahagian kiri tubuh pada 2016.

Berkongsi dengan Astro Awani, Effa berkata beliau sedang berbual dengan suaminya pada Sabtu petang apabila penyanyi itu tiba-tiba senyap.

Menyangka suaminya mungkin tertidur, Effa cuba mengejutkan Dahlan.

“Bila tidak sedap hati tengok keadaan Abang Dell (panggilan buat Dahlan) begitu, saya terus hubungi ambulans untuk bawa beliau ke Hospital Selayang,” kata Effa kepada Astro Awani hari ini.

Effa menambah beliau dan tiga anaknya tidak akan putus usaha untuk menjaga Dahlan meskipun sudah diserang angin ahmar buat kali kedua.

"Saya tidak akan putus asa dan akan terus berusaha serta berdoa semoga keadaan Abang Dell kembali pulih,” kata Effa seperti dinukil Astro Awani.

- Agensi berita/TQ/tq

Top