Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi Belanda Duncan Laurence menang Eurovision 2019

Penyanyi dan penggubah lagi dari Belanda muncul sebagai juara Eurovision 2019 edisi ke-64, sebuah pertandingan lagu terbesar dan bersejarah di Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 May 2019 04:46PM Dikemas Kini : 19 May 2019 10:10PM

TEL AVIV: Penyanyi dan penggubah lagi dari Belanda muncul sebagai juara Eurovision 2019 edisi ke-64, sebuah pertandingan lagu terbesar dan bersejarah di Eropah.

Lagu balada piano nyanyian Duncan Laurence dengan judul 'Arcade' mendapat perhatian para pengadil tahun ini dan berjaya mengumpulkan 492 mata keseluruhannya untuk muncul juara.

Dengan kemenangan itu juga, Belanda, yang mengalahkan 25 peserta lain, sekali gus mendapat hak untuk menjadi tuan rumah peringkat akhir Eurovision 2020.

Itali menduduki tempat kedua dengan 465 mata manakala penyanyi Rusia menyusul di tangga ketiga dengan 369 mata.

Kali terakhir penyanyi Belanda menjuarai pertandingan Eurovision adalah pada tahun 1975. Sekitar 200 juta orang dipercayai menonton acara tahunan itu.

Pertandingan yang kali pertama diadakan di bandar Tel Aviv, Israel, ini bagaimanapun dicemari kontroversi.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa paparan mengenai Baitulmakdis dikeluarkan daripada video mempromosikan Eurovision yang didakwa sebagai "propaganda" Israel menjelang pertandingan nyanyian itu di Tel Aviv.

Stesen penyiar Israel, KAN, menayangkan klip tersebut pada 10 Mei lalu di mana ia menyasarkan pelancong yang mengunjungi wilayah itu untuk menonton Eurovision dengan memaparkan rakaman pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis Timur.

Ia juga merujuk Baitulmakdis sebagai "ibu negara tercinta" walaupun penduduk Palestin turut menuntut wilayah timur itu sebagai bakal ibu kota negara mereka.

Para aktivis pro-Palestin menyeru agar pertandingan Eurovision ini dipulaukan.

Namun, tiada penyanyi atau syarikat penyiar yang menarik diri daripada pertandingan kali ini.

Bintang pop Madonna pula mengejutkan penonton ketika membuat persembahan jemputan khas, dengan mendendangkan lagu hit 1989 ikoniknya 'Like A Prayer' dan lagu baru 'Future' yang turut menampil seorang penyanyi rap Amerika Quavo.

Madonna membuat persembahan di Eurovision 2019. (Gambar: Orit Pnini/KAN/AFP)

Madonna membuat persembahan di Eurovision 2019. (Gambar: Orit Pnini/KAN/AFP)

Semasa di penghujung lagu kedua itu, dua penari latar Madonna tampil di atas pentas dengan menyarungkan kostum yang memaparkan bendera-bendera Israel dan Palestin di bahagian belakangnya.

Penyanyi berusia 60 tahun itu, yang merupakan pengikut Yahudi mistik dipanggil Kabbalah, mendapat kritikan daripada aktivis pro-Palestin kerana tampil membuat persembahan di acara itu.

Madonna bagaimanapun mempertahankan keputusannya dengan mengeluarkan kenyataan pada awal minggu ini sambil menyatakan bahawa beliau akan sentiasa bersuara untuk mempertahankan hak asasi manusia dan berharap dapat melihat "jalan baru menuju kedamaian".

Sumber : AFP/AA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan