Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penulis, pengarah teater prolifik Sabri Buang meninggal dunia

Penulis dan pengarah teater, televisyen Sabri Buang, meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penulis dan pengarah teater, televisyen Sabri Buang, meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.39 pagi Jumaat (26 Mac) akibat embolisme pulmonari.

Berita sedih itu dimaklumkan kepada BERITAmediacorp oleh anak perempuannya, Cik Kasih Aqidah Binte Sabri.

Menurut Cik Kasih, Allahyarham tidak menghidap sebarang penyakit kronik, namun mengalami sesak nafas.

Cik Kasih turut berkongsi bahawa ayahnya sebelum ini dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat disebabkan oleh paras gula dalam darah yang tinggi dan dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Allahyarham kemudian dipindahkan ke wad biasa dan berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham bagaimanapun dimasukkan semula ke ICU setelah mengalami sesak nafas.

Tambah Cik Kasih lagi, imbasan CT menunjukkan darah beku pada bahagian paru-paru Allahyarham.

Cik Kasih berkata jenazah bapanya akan dibawa pulang ke rumahnya di Woodlands St 13 untuk disembahyangkan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan selepas Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Allahyarham, insan seni yang sangat disegani ramai, juga pernah dilantik sebagai ketua Kolej Seni LASALLE dari 1999 hingga 2003.

Malah, Allahyarham juga disifatkan sebagai salah seorang pelopor teater alternatif dan kontemporari di Singapura dan Asia Tenggara.

Sebelum ini, Allahyarham turut mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Pengarah (Sinografi) pertama Istana Budaya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian Malaysia pada 2004.

Allahyarham juga insan seni yang amat berbakat kerana telah memenangi banyak anugerah di Singapura dan luar negara.

Di samping itu, beliau juga giat melatih ramai pelakon di Singapura, Amerika Syarikat, Norway dan Denmark.

Pelakon dan penghibur tempatan, Suhaimi Yusof berkongsi dalam catatan Facebooknya hari ini (26 Mac) bahawa Allahyarham merupakan guru drama pertamanya di sekolah menengah dan juga hampir menjadi murid Allahyarham di Kolej Seni LASALLE. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan