Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penulis legenda novel perisik John le Carré meninggal dunia pada usia 89 tahun

Penulis legenda Britain, David Cornwell, atau lebih dikenali sebagai John le Carré meninggal dunia pada usia 89 tahun pada Sabtu (12 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Penulis legenda novel perisik John le Carré meninggal dunia pada usia 89 tahun

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 Dec 2020 02:24PM Dikemas Kini : 14 Dec 2020 02:27PM

LONDON: Penulis legenda Britain, David Cornwell, atau lebih dikenali sebagai John le Carré meninggal dunia pada usia 89 tahun pada Sabtu (12 Dis).

Beliau meninggal dunia selepas mengalami radang paru-paru, namun tiada kaitan dengan COVID-19, menurut kenyataan Jonny Geller, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi penulis The Curtis Brown Group.

Mendiang meninggalkan seorang isteri, Jane, dan empat anak lelaki.

“Dengan penuh dukacita, kami mengesahkan David Cornwell - John le Carré - meninggal dunia akibat pneumonia pada Sabtu malam yang lalu selepas menghidap penyakit itu buat seketika,” menurut kenyataan daripada ahli keluarganya.

“David meninggalkan isterinya yang telah dikahwini selama hampir 50 tahun, Jane, dan anak-anak lelakinya, Nicholas, Timothy, Stephen dan Simon.”

Selama enam dekad, John le Carré menguasai carta buku paling laris dan ulasan terkemuka dengan siri tulisan yang cukup ikonik.

Mendiang mula menempah nama di pentas antarabangsa dengan novel ketiganya yang bertajuk The Spy Who Came in from the Cold pada 1963, dengan mendedahkan latar belakangnya ketika bekerja dengan Khidmat Risikan Britain.

Namun, buku-buku paling ikonik yang dikarang oleh le Carré diterbitkan pada 1970-an seperti novel bertajuk Tinker, Tailor, Soldier, Spy yang turut disusuli siri televisyen yang dibintangi oleh pelakon Alec Guinness.

Ini disusuli dengan novel A Perfect Spy pada 1980-an yang sering digelar sebagai karya agung oleh mendiang.

Novel terakhirnya, Agent Running in the Field diterbitkan pada Oktober 2019.

“Kami telah kehilangan seorang tokoh hebat dalam kesusasteraan Inggeris,” menurut kenyataan agensi Curtis Brown.

“Penulis sepertinya tidak akan muncul lagi dan pemergiannya akan dirasai setiap pencinta buku.”

Mendiang berjaya menghasilkan 25 novel serta sebuah memoir, The Pigeon Tunnel (2016), dan telah menjual lebih 60 juta penerbitan karyanya di seluruh dunia.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan