Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pentas sunyi sepi: COVID-19 jejas industri dangdut Indonesia, mata pencarian artis

Dulu memegang mikrofon, kini sudip dan cangkul - macam-macam cara diikhtiarkan penghibur dangdut Indonesia untuk mencari nafkah di tengah-tengah ketidakpastian pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Pentas sunyi sepi: COVID-19 jejas industri dangdut Indonesia, mata pencarian artis

(Gambar ihsan Netha Salsabila)

Diterbitkan : 07 Nov 2021 07:15PM Dikemas Kini : 07 Nov 2021 07:25PM

JAKARTA: Lengkap bersolek dan menggayakan kostum berkilauan, Netha Salsabila sering memukau penonton apabila membuat persembahan lagu dangdut dengan irama rancak yang mengajak sesiapa sahaja untuk turut sama menari.

Wanita berusia 32 tahun yang lebih dikenali sebagai Ranesa Queen itu adalah seorang penyanyi dangdut di kota Madiun, Jawa Timur, Indonesia.

Seperti banyak penyanyi dangdut lain, dia terpaksa menukar kerjaya dan gaya hidup gara-gara COVID-19.

Pandemik yang melanda tahun lalu, langsung menjejas kehidupannya - jika sebelum ini masanya diluangkan untuk berlatih bagi persembahan di pentas pada setiap malam, dia kini menyiapkan makanan untuk pelanggannya pada waktu pagi.

“Sebab saya menukar kerja adalah kerana banyak tempahan dibatalkan kerana sukar mendapatkan lesen untuk acara keramaian dan hiburan seperti majlis perkahwinan atau hari lahir,” jelasnya kepada Mediacorp.

"Sebab itu saya berpindah ke bidang kulinari, menjual makanan secara online seperti ikan keli goreng."

Dengan pelbagai sekatan dilaksanakan di tempat awam, artis dangdut sukar mencari rezeki apabila peluang mengadakan persembahan awam tidak lagi dibenarkan.

Beberapa penyanyi dan pemuzik yang dihubungi Mediacorp mengakui pendapatan mereka sekarang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini. Mereka tidak sabar untuk kembali ke pentas dan meneruskan persembahan setelah semua sekatan sosial ditarik balik.

BERJUANG CARI PELUANG

Sebagai seorang penyanyi dangdut, Netha memperoleh pendapatan sekitar Rp5 juta (S$471) sebulan daripada beberapa persembahan.

Pendapatannya boleh mencapai sehingga Rp7.5 juta (S$707) sebulan, jika mendapat tawaran membuat persembahan di bandar lain, seperti Malang atau Tuban.

Kini, dia hanya boleh membawa pulang sekitar separuh jumlah tersebut.

“Saya rindu membuat persembahan dan makan di majlis keramaian. Sekarang saya hanya duduk di rumah, saya tidak boleh bergaul dengan artis lain."

Tambahan lagi, menjalankan perniagaan makanan adalah tugas sukar yang memerlukan kesabaran, kongsinya.

“Awal pagi lagi saya sudah perlu bersiap, kemudian petik gambar makanan untuk dimuat naik ke akaun media sosial,” kata Netha sambil menambah media sosial menjadi penghubung antara dirinya dengan kebanyakan pelanggan.

DULU GOYANG PINGGUL, KINI HAYUN CANGKUL

Seorang lagi bekas penyanyi dangdut, Novi Listiana, beralih ke sektor pertanian untuk menampung sara hidup sejak pandemik COVID-19.

Menetap di Boyolali, Jawa Tengah, wanita berusia 23 tahun itu sebelum ini sering membuat persembahan dari desa ke desa di kampung halamannya.

“Saya menjadi penyanyi bukan kerana saya mempunyai suara yang bagus, tetapi kerana saya satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga saya.

“Jadi saya lakukan ini demi keluarga, menyanyi sejak 2013, ketika di sekolah menengah,” katanya.

Apabila berkahwin pada 2018, Novi pernah memikirkan untuk meninggalkan pentas dangdut dan mengubah imejnya.

Namun, Novi sukar mendapat peluang pekerjaan lain terutama di tengah-tengah pandemik yang semakin teruk.

“Sejak pandemik COVID-19, saya sudah tidak mempunyai pekerjaan, walau satu pun peluang. Di mana-mana juga susah nak dapat kerja,” luahnya.

Suaminya, seorang pemain dram, juga memutuskan untuk meninggalkan kerjaya muzik.

Pasangan itu kemudian bercucuk tanam, dan dari situlah mereka mula mencari rezeki sebagai petani keci-kecilan.

(Gambar ihsan: Novi Listiana)

(Gambar ihsan: Novi Listiana)

“Pada mulanya saya risau dan malu. Tetapi lama-kelamaan, ia menjadi lebih seronok dan sehingga kini selesa menjadi petani,” kongsinya kepada Mediacorp.

Menurut Novi, pendapatan mereka tidak berkurangan sekitar Rp 2 juta (S$188 )sebulan, jumlah yang pernah diperolehnya sebagai penyanyi dangdut.

NASIB TIDAK SERUPA BAGI PEMAIN MUZIK

Namun, nasib sebilangan pemuzik dangdut seperti Agus Suprapto dan Listyo Pramono, tidak sebaik itu.

Agus yang bekerja sebagai pemain keyboard dangdut selama hampir dua dekad, kini meluangkan hari-harinya sebagai tukang membaiki barangan elektronik.

Dia juga membuka warung makanan yang sederhana dan menyewakan permainan Playstation 3 (PS3).

"Pada pertengahan 2020, sekitar Julai atau Ogos, saya terpaksa menjual keyboard Yamaha saya supaya boleh membeli alat elektronik, TV terpakai untuk sewakan PS3 saya, serta untuk membuka gerai," kata lelaki berusia 46 tahun itu.

Pada musim perayaan sebelum ini, sebagai seorang pemain keyboard dia boleh membuat persembahan setiap hari dan membawa pulang sekitar Rp 200,000 (S$19) hingga Rp 300,000 (S$28) selepas setiap persembahan.

Kini pendapatannya bergantung pada sama ada ada sesiapa yang memanggilnya untuk membaiki barang elektronik, kemahiran yang dipelajarinya melalui Youtube. Tempahan untuk khidmatnya biasanya datang dua atau tiga kali seminggu.

“Mungkin kerana pandemik, panggilan khidmat mungkin kurang sedikit. Sekarang yang penting adalah untuk terus hidup,” kata bapa kepada seorang anak prasekolah itu.

Bagi bekas pemain gitar dangdut Listyo Pramono, menjadi penganggur merupakan satu tamparan hebat buatnya ekoran kehilangan mata pencarian.

Ketika pandemik melanda, lelaki berusia 40 tahun yang sudah 15 tahun bergiat sebagai pemuzik dangdut itu beralih menjadi pekerja kilang gula.

Namun, dari semasa ke semasa dia menganggur, kerana peluang pekerjaan di kilang hanya berlaku secara musiman.

ADA HARAPAN UNTUK DANGDUT: PEMERHATI

Penganalisis muzik Bens Leo akur bahawa pandemik COVID-19 telah memaksa ramai artis dangdut bertukar kerjaya.

Bagaimanapun, menurutnya nasib serupa turut melanda artis genre lain.

Meskupun demikian, beliau percaya penghibur dangdut secara keseluruhannya berdepan cabaran lebih besar, kerana jumlah mereka di Indonesia lebih ramai berbanding artis di industri hiburan lain.

Sekatan akibat pandemik pula mewujudkan persaingan lebih sengit bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan atau tawaran gig.

Kini, apabila keadaan pandemik COVID-19 di Indonesia mula pulih dan banyak wilayah dibuka secara bertahap-tahap, acara berskala kecil dengan protokol kesihatan yang ketat akhirnya dibenarkan.

Pemerhati seperti Encik Bens yakin bahawa pentas dangdut akan kembali bersemarak dengan begitu ramai pemain dalam industri merasakan bahawa mereka "sudah mempunyai DNA dangdut."

Beliau percaya artis dangdut berkemungkinan besar akan kembali membuat persembahan apabila lebih banyak tawaran diterima daripada pelbagai pihak.

Netha yang kini penjual makanan, tidak teragak-agak mengatakan hasratnya untuk kembali ke pentas jika diberi peluang.

Akan tetapi, perniagaan makanannya akan terus diutamakan, dengan persembahan dangdut dilakukan sekali-sekala sahaja.

Pemain keyboard Agus dan gitaris Listyo juga berharap pandemik akan berakhir sepenuhnya dalam masa terdekat, supaya mereka boleh kembali ke pentas.

Bagi sesetengah individu seperti Novi yang menceburi bidang lain, kembali kepada melodi dan lantunan dangdut bukan lagi suatu pilihan.

"Saya sudah lupakan dunia yang bergemerlapan itu, kerana pada saya, kebahagiaan itu tidak semestinya hidup mewah," ujarnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan