Pengumuman Siti Nurhaliza di S'pura: Bakal timang anak perempuan!
Putera kah? Atau Puteri? Akhirnya teka-teki tentang jantina anak dalam kandungan penyanyi Siti Nurhaliza terjawab hari ini.
BERITAMediacorp: Putera kah? Atau Puteri? Akhirnya teka-teki tentang jantina anak dalam kandungan penyanyi Siti Nurhaliza terjawab hari ini.
Sempena hari lahirnya hari ini (11 Jan), Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Mohamad Khalid Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, mengumumkan menerusi video di laman Instagram bahawa mereka bakal menimang cahaya mata perempuan.
Pasangan itu merakam pengumuman tersebut sedang mereka bercuti di Singapura sekarang ini.
Ini adalah bayi perempuan pertama bagi Datuk K dan anak kandung pertama bagi Siti Nurhaliza sendiri. Datuk K mempunyai empat anak lelaki hasil perkahwinan sebelum ini dan semuanya sudah dewasa dengan yang bongsu hampir mencecah usia 20-an tahun.
Menerusi video tersebut Siti Nurhaliza dilihat tersenyum dengan wajah 'seri ibu' bersama suaminya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada dirinya yang menyambut ulang tahun ke-39 hari ini (11Jan).
Beliau turut berkata "hadiah paling bermakna" bagi dirinya tahun ini adalah zuriat yang bakal dilahirkan pada bulan Mac nanti dan meminta doa peminat.
Sempena hari lahirnya juga Siti berkata beliau ingin berkongsi "insya Allah apa yang dinanti-nantikan, rezeki kali ini", sebelum menoleh kepada suaminya dan bertanya "nak cakap?".
Datuk K menyambut pertanyaan Siti dengan mendedahkan bahawa doktor sudah mengesahkan jantina bayi mereka adalah seorang puteri.
Siti meminta agar masyarakat mendoakan puteri mereka sihat, sempurna dan menjadi anak yang solehah.
Semalam Siti Nurhaliza memuat naik gambar-gambar yang menunjukkan beliau bersama keluarga besarnya sedang bercuti di Singapura bagi meraikan ulang tahunnya sambil "babymoon".
'Babymoon' adalah istilah yang lazimnya digunakan bagi pasangan yang bercuti semasa hamil.
Siti sekeluarga juga dilihat menikmati juadah di restoran popular di Singapura, Restoran Zam Zam pada Selasa (9 Jan). Restoran itu memuat naik beberapa gambar bersama Siti di laman Facebooknya.
Sehingga pagi tadi Siti Nurhaliza dipercayai masih berada di Singapura setelah beliau memuat naik video 'Insta Story' menunjukkan mereka sekeluarga sedang berehat di kolam renang sebuah hotel di Sentosa.
LAPORAN BERKAITAN: Siti Nurhaliza kelihatan di S'pura; sambut hari lahir dan sedang 'babymoon'?
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.