Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pengasas jenama amplifier gitar terkemuka Blackstar, Bruce Keir, meninggal dunia

Bruce Keir – pengasas bersama dan Pengarah Teknikal syarikat alat muzik terkemuka Blackstar Amplification – meninggal dunia pada usia 60 tahun, umum syarikat itu dalam satu catatan Facebook pada Selasa (21 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasas jenama amplifier gitar terkemuka Blackstar, Bruce Keir, meninggal dunia

Pengasas bersama Blackstar dan gergasi inovasi dunia teknologi muzik, Bruce Keir. (Gambar ihsan: Blackstar Amplification)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 02:54PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 02:57PM

AGENSI: Bruce Keir – pengasas bersama dan Pengarah Teknikal syarikat alat muzik terkemuka Blackstar Amplification – meninggal dunia pada usia 60 tahun, umum syarikat itu dalam satu catatan Facebook pada Selasa (21 Sep).

Keir meninggal dunia dengan tenang seminggu lalu pada 14 September setelah bergelut dengan permulaan awal penyakit Alzheimer buat beberapa tahun.

Dilahirkan di Singapura pada 1961, bapa Keir merupakan seorang jurutera radio terkemuka BBC yang mendedahkannya kepada alat audio dan elektronik sejak usia yang muda, menurut laman majalah gitar, Guitar World.

Minat Keir terhadap peralatan elektronik didorong lagi oleh cintanya terhadap muzik dan pada usia remaja, beliau meraih pengalaman bekerja dengan jenama amplifier gitar Marshall milik abangnya, Bill.

Setelah lulus universiti, Keir berpindah ke Milton Keynes, England, di mana beliau memegang sebuah jawatan di Marshall Amplification. Bermula sebagai Jurutera Reka sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Jurutera dan kemudian Pengarah Rekaan di syarikat legenda itu, Keir memainkan peranan penting dalam kemajuan teknologi Marshall pada tahun-tahun 1980-an hingga 1990-an.

Semasa bekerja di Marshall, Keir bertemu dengan Ian Robinson, Paul Hayhoe dan Richard Frost. Mereka kemudian sama-sama menubuhkan Blackstar pada 2007, lapor Guitar World.

Keir mereka semua produk asal Blackstar - termasuk Artisan, Series One dan HT Pedals. Malah, beliau juga tenaga di sebalik algoritma digital asal yang membentuk asas ID:Series terkemuka syarikat Blackstar.

"Di bawah bimbingan Bruce, Blackstar menubuhkan kemudahan R&D teknologi gitar terkemuka di dunia yang sentiasa melabur dalam mengkaji teknologi gitar dan memacu inovasi," menurut kenyataan daripada syarikat itu.

"Sebagai seorang rakan niaga serta pebimbing, Bruce juga merupakan teman yang sangat rapat dan bermain bes dengan kumpulan pengasas Blackstar (termasuk Pengarah Pemasaran Joel Richardson) selama bertahun-tahun.

"Sejak bertahun-tahun, Bruce menjadi inspirasi kepada begitu ramai orang. Mereka yang pernah bertemu dengannya pasti akan mengenang keramahan, jenaka dan kesungguhan individu yang cukup unik. Blackstar akan memastikan legasinya sentiasa dikenang, dilindungi dan diperkukuhkan."

Demi memperingatinya, keluarga Keir menubuhkan sebuah laman derma online untuk Alzheimer's Society.  

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan