Images
  • train to busan
    (Gambar: Next Entertainment World)

Pengarah Indonesia sutradara pembikinan semula filem 'Train To Busan'

AMERIKA SYARIKAT: Pembikinan semula filem 'zombie' Korea Selatan, "Train To Busan" akan diteruskan dengan berita terkini yang dilaporkan oleh Deadline mendedahkan bahawa pengarah warga Indonesia, Timo Tjahjanto, sedang dalam perbincangan untuk menerajui filem itu.

Khabar angin mengenai filem tersebut - tentang virus yang menular dari penumpang ke penumpang dalam sebuah kereta api yang menjadikan mereka 'zombie' - bertiup kencang kebelakangan ini dan ini merupakan kali pertama seorang pengarah dikaitkan dengan projek itu.

Tjahjanto terkenal dengan karyanya dalam genre filem seram dan aksi, salah satunya ialah The Night Comes For Us di Netflix. Beliau juga pernah menjadi pengarah bagi filem Headshot and Killers bersama rakan kreatifnya Kimo Stamboel.

Pembikinan semula filem Korea Selatan itu, yang belum ditetapkan tarikh tayangannya, akan diterbitkan oleh seorang lagi pengarah-produser filem seram terkenal James Wan, yang karyanya termasuk filem-filem seperti The Conjuring, Annabelle dan The Nun. Gary Dauberman, yang bekerjasama dengan Wan bagi filem-filem itu akan mengadaptasi lakon layar bagi pembikinan semula "Train To Busan".

Tjahjanto menulis di Twitter pada 19 Februari: "Tidak ada yang akan menandingi Train to Busan, sebuah filem seram yang digemari ramai sehinggakan saya sendiri menangis tak terhenti-henti (tidak pernah berlaku sejak The Others oleh Amenabar). Sungguhpun demikian, James, Gary & saya sama-sama berikrar: Jangan mencemari filem asal & mengecewakan peminat".

Train To Busan yang asli, diarahkan oleh Yeon Sang-ho dan ia ditayangkan buat pertama kali di Pesta Filem Cannes pada 2016. Sekuelnya, Train To Busan: Peninsula dikeluarkan pada 2020.

- Agensi berita/TQ/ha

Top