Pengadil 'America's Got Talent' Simon Cowell patah tulang belakang selepas terjatuh dari basikal elektrik
Pengadil rancangan “America’s Got Talent” Simon Cowell menjalani pembedahan setelah tulang belakangnya patah akibat terjatuh dari basikal elektrik pada Sabtu (8 Ogos), menurut laporan CNN.
MALIBU, California: Pengadil rancangan “America’s Got Talent” Simon Cowell menjalani pembedahan setelah tulang belakangnya patah akibat terjatuh dari basikal elektrik pada Sabtu (8 Ogos), menurut laporan CNN.
Insiden itu berlaku ketika Cowell, 60 tahun, sedang menguji basikal elektrik baru di halaman rumahnya di Malibu, California di Amerika Syarikat bersama keluarganya, menurut seorang jurucakap.
Jurucakap Cowell memberitahu CNN: “Beliau dibawa ke hospital di mana beliau dibedah semalaman, beliau kini dipantau dan berada dalam keadaan baik”.
Cowell menjalani pembedahan selama lima jam melibatkan pencatuman vertebra dan pemasangan sebatang logam pada tulang belakangnya, lapor majalah People yang menukil seorang sumber.
“Beliau jatuh pada bahagian belakang tubuh ketika terjatuh dari basikal. Kecederaannya teruk namun beliau diberitahu bahawa beliau bernasib baik,” kata sumber tersebut.
Cowell, yang dikenali dengan sikap terus terangnya dan lontaran komen-komen 'pedas' dalam rancangan cungkil bakat "Britain's Got Talent," "American Idol" dan "X Factor" sebelum ini dijadual membuat penampilan di set penggambaran “America’s Got Talent” bagi siaran langsung pertama buat musim ke-15 pada Selasa (11 Ogos).
Dalam perkembangan terbaru, Cowell mengeluarkan catatan Twitter pada Isnin (10 Ogos) untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengirim pesanan kepadanya supaya cepat sembuh.
Beliau juga melahirkan penghargaanya kepada para doktor dan jururawat yang dikatakannya sebagai “antara orang-orang yang paling baik hati yang pernah ditemuinya”.
Cowell juga sempat mengingatkan orang ramai supaya “membaca manual” sebelum mengayuh basikal elektrik buat pertama kali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.