Images
  • a rahman hassan
    Penyanyi pop yeh yeh era 1960-an A Rahman Hassan. (Gambar: YouTube/mohd idris adam)

Pemergian A Rahman Hassan kehilangan besar kepada industri seni M'sia

KUALA LUMPUR: Ratusan rakan artis dan orang ramai termasuk DJ Dave, Jeffry Din, M Nasir, Yusof Haslam dan Othman Hafsham hadir di acara pengebumian penyanyi era 1960-an, A. Rahman Hassan, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan kira-kira 2.50 petang (13 Jun) di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini. 

Tanah perkuburan itu turut menempatkan pusara isterinya, Allahyarhamha Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 2013.

Mengulas pemergian penyanyi tersebut pada usia 73 tahun, tokoh wartawan dan aktivis seni Encik Johan Jaaffar menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air negara.

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang bintang cemerlang yang menghiasi dunia seni tanah air serta banyak berjasa dalam membantu teman-teman artis.

"Beliau menjadi suara bagi kalangan seniman, khususnya yang kurang bernasib baik. Perjuangan beliau tidak akan dilupakan, malah kehilangan beliau amat dirasai," kata Encik Johan dalam satu kenyataan hari ini.

Allahyarham A. Rahman menghembuskan nafas terakhir pada 12.40 tengah malam Khamis di Hospital Ampang di sini, akibat komplikasi paru-paru berair.

Encik Johan berkata Allahyarham merupakan ikon 'Pop Yeh Yeh' di era 60-an, dan terkenal dengan lagu 'Tak Mengapa' bersama Orkes Nirwana, yang mencorakkan suasana muzik dan seni lagu zaman tersebut bersama tokoh seni lain seperti M.Osman, Jeffrydin serta ramai lagi.

Lagu tersebut bukan sahaja ikonik di era itu tetapi sentiasa malar segar dalam ingatan peminat beliau hingga ke hari ini, katanya. 

A RAHMAN HASSAN SELALU INGATKAN ANAK-ANAK UNTUK JAGA AGAMA...

Dalam pada itu, anak penyanyi itu Khairulizam Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Khir Rahman berkata bahawa pesanan ayahnya mengenai agama, bahasa dan ikatan kekeluargaan adalah antara perkara yang kekal menjadi ingatan.

Anak sulung kepada Allahyarham itu ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Ukay, Hulu Klang berkata pesanan tersebut akan dipegang dan diturunkan kepada anak-anak serta keluarga kerana perkara itu penting dalam menjalani kehidupan yang serba moden dan canggih.

“Abah selalu ingatkan anak-anak untuk jaga agama kerana agama di atas kertas sahaja tidak memberi makna jika kita sendiri tidak amalkan perintah Allah.

“Beliau juga seorang yang pentingkan bahasa dan dia tak suka dengar bahasa rojak, cakap tunggang langgang dan tatabahasa lari,” kata Khir.

A. Rahman Hassan yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Akademi Seni dan Warisan (Aswara), meninggal dunia di Hospital Ampang, susulan komplikasi kesihatan.
Khir berkata sejak bapanya sakit pada awal Jun lalu, mereka sekeluarga sering berada di samping Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang.

Menurutnya, mereka sekeluarga sempat menyambut hari raya Aidilfitri di Kuala Lumpur dan Johor dengan Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda yang dirinya sakit.

“Allahyarham sempat berpesan kepada cucunya untuk datang ke rumahnya untuk menyambut hari jadi pada hari ini 13 Jun dan pada tarikh sama, ahli keluarga memang datang ke rumah tetapi bukan untuk menyambut hari kelahiran,” katanya dalam keadaan sebak.

Sementara itu,  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata Allahyarham akan dikenang sepanjang masa kerana lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh yang menjadi kegemaran rakyat tidak mengira usia. 

"Saya sering mengikuti perkembangan seni Allahyarham dan kali terakhir bertanya khabar menerusi aplikasi WhatsApp pada 6 Jun lalu… dia memaklumkan keadaannya yang sihat. 

"Saya terkejut dengan kehilangan ini kerana saya sendiri suka cungkil kembali semangat penyanyi lama dan kini negara kehilangan insan seni yang berbakat," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah Allahyarham di kediamannya. 

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fadilah Mansor dan dua anak iaitu Khairulizam (Khir Rahman) dan Khairulazmi.

Anak kedua arwah, Khairul Ilmi meninggal dunia pada 2016 akibat barah. 

- BERNAMA/DY/na

Top