Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pementasan semula 'Puteri Gunung Ledang' bawa kesegaran dengan barisan pelakon baru

“Saya tak sabar untuk membawa versi baru Puteri Gunung Ledang the Muzikal (PGL) hasil tangan saya berjumpa dengan penonton Singapura yang dah merindui PGL. Saya janjikan untuk memberikan yang terbaik selalu dan kali ini InsyaAllah ia akan lebih baik dari segala-galanya khas untuk orang Singapura.” 

Anggaran Waktu Membaca:
Pementasan semula 'Puteri Gunung Ledang' bawa kesegaran dengan barisan pelakon baru

Tiara Jacquelina. (Gambar-gambar: Enfiniti (M) Sdn Bhd)

KUALA LUMPUR: “Saya tak sabar untuk membawa versi baru Puteri Gunung Ledang the Muzikal (PGL) hasil tangan saya berjumpa dengan penonton Singapura yang dah merindui PGL. Saya janjikan untuk memberikan yang terbaik selalu dan kali ini InsyaAllah ia akan lebih baik dari segala-galanya khas untuk orang Singapura.”

Itulah janji pengasas Enfiniti (M) Sdn Bhd, Tiara Jacquelina kepada penggemar muzikal tersebut yang pernah mencetus fenomena apabila ia pernah dipentaskan di Kuala Lumpur dan Esplanade, Singapura sebelum ini.

"Kami sedang dalam perbincangan bersama pihak Esplanade sekarang. Seandainya jadi, pementasan di Esplanade mungkin diadakan pada Jun 2020 nanti sementara ia akan dipentaskan di Kuala Lumpur pada bulan Julai pula," kata Tiara.

Pementasan terbitan syarikat milik beliau pertama kalinya dipentaskan pada tahun 2006 dan mendapat sambutan luarbiasa di Esplanade sehingga semua tiket habis dijual. Ramai di sini kecewa tidak dapat menyaksikan kisah cinta Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah ketika itu.

Jenama PGL tersebut begitu kukuh sehingga ke hari ini sehingga ramai masih tertarik ingin menyaksikan pementasan tersebut dikembalikan di Singapura juga.

BERITAmediacorp telah berkunjung ke pejabat Tiara Jacquelina di Kota Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mendapatkan perincian terkini mengenai sesi uji bakat yang telah dilakukan oleh pihak produksinya untuk mencari pelakon-pelakon bagi musim baru PGL tersebut.

Cuma kali ini Tiara berkongsi, beliau tidak lagi akan berlakon sebagai Gusti Puteri untuk muzikal tersebut. Sebaliknya, beliau akan menjadi pengarah pula.

SESI UJI BAKAT

Menurut beliau, lebih kurang 300 individu telah pun berminat untuk menyertai sesi uji bakat yang dibuka juga kepada warga negara Singapura dan Indonesia.

Penerbit eksekutif peramah itu berkongsi: “300 lebih datang dari seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia. Sungguh seronok sekali apabila saya melihat penerimaan orang dan excitement pelakon dan penghibur generasi sekarang yang teruja untuk menjadi sebahagian dari PGL. Mereka menganggap PGL the muzikal sebagai peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup oleh mereka yang bergelar anak seni."

Sesi uji bakat kali ini juga diadakan secara terbuka. Sesiapa sahaja yang berminat boleh mencuba. Ada yang menghantar mesej kepadanya di Instagram, manakala ada pula yang menghubungi pejabat Enfiniti untuk datang ke sesi uji bakat bagi musim baru PGL. Selain itu, ada juga yang dijemput oleh Tiara untuk datang ke sesi uji bakat mereka.

BERITAmediacorp bertanya kepada Tiara sendiri mengenai penyanyi Singapura iaitu Aisyah Aziz yang turut hadir untuk sesi uji bakat Enfiniti kerana Tiara pernah berkongsi gambar beliau bersama Aisyah di Instagram miliknya baru-baru ini.

“Khususnya, Aisyah Aziz kami yang jemput. Produksi kami yang jemput, Adi Putra juga begitu sebab saya telah melihat banyak potensi dalam mereka dan kalau boleh biarlah sebelum kita tutup proses uji bakat ini saya nak berpuas hati dan cuba selagi ada sebab saya rasa dalam buku senarai pelakon yang boleh menyanyi atau penyanyi yang boleh berlakon hampir semua kami telah uji bakat. Sesiapa yang menjadi Puteri dan Hang Tuah saya akan sendiri rasa berpuas hati saya dah cuba semua,” terangnya serius seketika.

Tiara mengatakan beliau pernah melihat persembahan dan klip video penyanyi Aisyah juga.

“Very intrigued dengan Aisyah Aziz yang saya melihat seorang bakat yang besar, sebagai seorang personaliti dia juga very bubbly, sambungnya lagi.

Kesemua yang datang sesi uji bakat dikehendaki untuk menyanyikan lagu-lagu muzikal, menari tarian Jawa serta tarian Melayu selain dari berlakon adegan dari PGL.

“Itulah sebabnya mengapa ia sukar. Ada yang boleh berlakon tak boleh menyanyi, ada yang boleh menyanyi tak boleh menari, ada yang pandai berlakon drama, bila berlakon pentas tak sama hebatnya. Jadi ia benar-benar sukar. Saya sampai tak tidur malam memikirkan siapalah akhirnya yang kita boleh jumpa yang boleh memenuhi ketiga-tiga syarat ini,” kata Tiara.

Dalam pencarian mereka untuk mendapatkan yang terbaik bagi musim kali ini, watak siapakah yang paling mencabar untuk dicari? Ini jawapan beliau tanpa berfikir panjang:

“Gusti Puteri dan Hang Tuah sebab saya tahu harapan penonton yang datang itu besar sangat lebih-lebih lagi selepas dah tak menonton 10 tahun.”

TIARA SEBAGAI PENGARAH PGL

BERITAmediacorp tidak ketinggalan bertanya kepada Tiara mengapakah beliau tidak berlakon kembali untuk musim baru PGL kali ini.

“Saya ingin menjadi pengarah PGL The Musical dan memberikan nafas baru versi saya jadi saya rasa saya cuma boleh buat itu kalau saya fokus untuk mengarah sahaja.”

Sejak penubuhan syarikat beliau pada tahun 2003, pelakon tersebut mengamalkan sikap terbuka kepada sesiapa sahaja yang berbakat termasuk mereka dari Singapura, Indonesia, Brunei atau London.

“Asalkan mereka boleh bercakap dalam bahasa Malaysia, boleh berlakon dalam bahasa Melayu dan sanggup bekerja di sini (KL), mempunyai aturan sendiri untuk tinggal di sini mengapa tidak? Bakat ada di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Beliau juga kagum kerana terdapat dunia teater yang berkembang maju di Singapura.

“Saya rasa pasti ada ramai di Singapura yang dah berlatih bertahun-tahun yang kita boleh gunakan untuk filem-filem dan persembahan kita jadi mengapa tidak?"

Kini pihak Enfiniti masih lagi dalam proses perbincangan bersama Esplanade untuk pementasan di Singapura pada Jun nanti jelas beliau sambil tersenyum. Sehingga kini beliau masih lagi merahsiakan barisan pelakon yang terpilih untuk musim terbaru PGL tahun ini.

Inilah kata-kata akhir beliau mengenai pementasan di Esplanade nanti:
“Sebab alang-alang kami akan buat pementasan di KL ia masuk akal kalau kita "tour" sekaligus untuk mengurangkan kos di Esplanade. Kalau kita buat satu persembahan khas untuk Esplanade adalah terlalu mahal.”  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan