Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon veteran Zulkifli Zain dalam keadaan kritikal

Pelakon veteran Malaysia, Zulkifli Zain, 76, berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon veteran Zulkifli Zain dalam keadaan kritikal

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Mar 2020 03:32PM Dikemas Kini : 16 Mar 2020 03:42PM

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Malaysia, Zulkifli Zain, 76, berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Mantan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu kurang memberikan respon dan ada ketika, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, menukil laporan Berita Harian Malaysia.

Beliau masih dirawat di Hospital UiTM Sungai Buloh sejak dua minggu lalu.

Sebelum ini, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.

Menurut anaknya, Dr Norzizi Zulkifli, keadaan bapa beliau agak kritikal pada Ahad apabila beliau tidak memberikan respon langsung.

“Sepatutnya, Papa boleh keluar hospital pada Jumaat, tetapi tahap kesihatan belum stabil. Sejak beberapa hari lalu, dia mula bercakap sendiri dan tak kenal orang.

“Ada kala sedar dan dengar arahan, ada masa tidak faham. Keadaannya seperti mamai. Bagaimanapun, dia tidak memberikan respon dan makanan disuapkan pun tidak digigit, semalam.

“Kami berada di sebelahnya juga seperti tak wujud,” katanya seperti dinukil Berita Harian Malaysia.

Dr Norzizi berkata bacaan pada buah pinggang masih lagi tinggi, manakala kurang kandungan sodium dalam darah. Pemeriksaan Imbasan CT pada Ahad mendapati ada pendarahan dalam otak.

“Selama ini, Papa memang ada penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang. Bagaimanapun, buah pinggang belum kritikal dan memerlukan dialisis.

“Penyakit buah pinggang masih dalam pengawasan, tetapi kali ini, bacaan buah pinggang agak teruk. Hari ini, Papa kena buat dialisis buat sementara waktu,” katanya seperti dinukil Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, doktor memaklumkan pendarahan dalam otak tidak merebak, jadi masih ada harapan untuknya sembuh.

“Alhamdulillah, pendarahan dalam otak yang dikesan tidak merebak. Jika merebak kemungkinan dia tidak akan memberikan tindak balas.

“Hari ini, ada sedikit perubahan apabila Papa mula respon. Walaupun lambat dan kena berkali-kali memanggilnya, masih ada respon.

“Buat masa ini, Papa tidak boleh melakukan sebarang pembedahan besar. Doktor mahu melihat perkembangan kesihatannya terlebih dahulu,” katanya.

Cik Norzizi berkata, beliau dan keluarga memohon rakyat Malaysia mendoakan kesihatan bapanya supaya cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan.

Beliau menghargai sanak saudara, rakan taulan dan peminat yang tidak putus datang menziarah. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan