Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon veteran Tawil meninggal dunia

Pelakon filem veteran Malaysia Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tawil, 69, meninggal dunia di kediamannya pada 2.15 pagi tadi (23 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon veteran Tawil meninggal dunia

Pelakon veteran Malaysia Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tawil. (Gambar: Facebook/Lagu2 Retro dan Rock Kapak)

Diterbitkan : 23 Jul 2021 09:48PM Dikemas Kini : 23 Jul 2021 09:50PM

KUALA LUMPUR: Pelakon filem veteran Malaysia Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tawil, 69, meninggal dunia di kediamannya pada 2.15 pagi tadi (23 Jul).

Berita pemergian pelakon veteran itu disahkan anaknya yang juga Penerbit Promo Program Astro AWANI, Mohammad Firdaus Abu Bakar pada Jumaat kepada laman Astro AWANI.

Laman berita itu melaporkan bahawa Mohammad Firdaus mendapat panggilan daripada ibunya yang memberitahu bahawa ayahnya menghadapi kesukaran bernafas pada sekitar 1.15 pagi dan terus menghubungi ambulans.

Bagaimanapun ketika ambulans tiba, pegawai perubatan mengesahkan bapanya sudah menghembuskan nafas terakhir.

Mohammad Firdaus memberitau Astro AWANI bahawa kali terakhir beliau bersua muka dengan bapanya adalah semasa bulan puasa, dan mereka hanya berhubungan menerusi panggilan video sejak sekatan pergerakan rentas negeri dilaksana.

Arwah kelihatan ceria dan bergurau seperti biasa dengannya ketika kali terakhir berhubungan minggu lalu, tambahnya.

“Kami semua masih lagi dalam percaya atau tidak percaya, masih terkejut. Sedih tapi terkejut dan kami bersyukur kerana arwah pergi pada hari yang mulia, hari Jumaat,” kongsinya kepada Astro AWANI.

“Saya akan rindu dia punya seloroh. Dia dengan semua orang akan berseloroh, berbual.

“Arwah memang tak kedekut ilmu, tak sombong dan suka buat kawan. Dia kawan saja dengan semua orang,” ceritanya lagi kepada laman tersebut.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada sekitar 10.30 pagi.

Astro AWANI melaporkan, arwah Tawil membintangi sekitar 500 drama, filem, pementasan teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.

Filem Prebet Lapok, yang diarah oleh Allahyarham Aziz Sattar dan menggandingkannya dengan bintang utama AR Badul, merupakan penampilan pertama Allahyarham di layar perak pada 29 tahun.

Selain itu, Allahyarham Tawil turut membintangi filem-filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga dan Penyamun Tarbus.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan