Images
  • JA Halim (1)
    Pelakon veteran Singapura, J.A Halim. (Gambar: J.A Halim/Instagram)

Pelakon veteran J.A Halim kritikal diserang angin ahmar

BERITAmediacorp: Pelakon veteran Singapura, J.A Halim, kini dalam keadaan kritikal setelah diserang angin ahmar.

Demikian dimaklumkan oleh anak-anaknya, Nina Halim dan Helmindra Halim serta menantu, Fizah Nizam melalui laman Instagram.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp hari ini (12 Dis), Fizah mengesahkan keadaan bapa mentuanya itu.

Fizah berkata semasa diserang angin ahmar, bapa mentuanya sedang menghadiri satu mesyuarat semalam (11 Dis).

Beliau diberitahu bahawa bapa mentuanya itu mengadu pening kepala tetapi masih ingin meneruskan mesyuarat tersebut.

"Salah seorang rakannya menyedari pertuturan ayah sudah tidak jelas dan menyarankan agar segera dikejarkan ke hospital. Bila di hospital doktor sahkan beliau diserang angin ahmar pada bahagian kanan otaknya," kata Fizah.

J.A Halim atau nama sebenarnya AB Khalim Jamaludin, dikejarkan ke Unit Jagaan Rapi Neuro di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) selepas pukul 9.00 malam semalam (11 Dis)


(Gambar: J.A Halim/Instagram)

PEMBULUH DARAH PECAH, PENDARAHAN DALAM OTAK

Anak sulung J.A Halim, Nina, kemudian memuatkan naik catatan di laman Instagram sekitar pukul 6.00 pagi tadi memaklumkan tentang keadaan ayahnya.

"Pembuluh darah ayah pecah dan pendarahan dalam bahagian otaknya semakin teruk. Ayah jatuh koma kira-kira pukul 4.00 pagi.

"Keadaannya kritikal dan kami diberitahu bahawa ia akan bertambah teruk dalam tempoh 24 jam," kata Nina.

Sekitar pukul 12.45 tengah hari tadi Nina memuat naik satu lagi catatan memaklumkan bahawa keadaan ayahnya semakin tenat.

BERITAmediacorp diberitahu bahawa pendarahan yang dialami J.A Halim, 71 tahun, sudah merebak ke suku bahagian kanan otaknya.


Dari kiri: Fiza Nizam, Helmindra Halim, Nina Halim, Aminah Ahmad dan J.A Halim. (Gambar: Mediacorp Suria)

DOAKAN AYAH & IBU - NINA HALIM

Nina meminta rakan-rakan J.A Halim yang ingin menziarahinya di hospital agar menghubungi dirinya, adiknya Helmindra atau adik iparnya Fizah terlebih dahulu.

"Saya minta doakan ayah dan ibu saya (Aminah Ahmad). Kami meminta maaf sekiranya tidak dapat menghubungi anda secara langsung.

"Ayah akan dipindahkan ke wad biasa hari ini sedang kami cuba sedaya mungkin untuk memastikan beliau dalam keadaan selesa," tambah Nina.


(Gambar: J.A Halim/Instagram)

Fizah juga, menerusi Instagramnya meluahkan rasa sedih atas apa yang menimpa bapa mentuanya itu.

"Keadaan tidak begitu baik. Saya minta doakan beliau (J.A Halim). Ya Allah permudahkan segala.

Menerusi satu lagi gambar yang menunjukkan gambar cucu-cucu J.A Halim, Fizah menulis coretan yang berbunyi: "Hati anak-anak ini akan luluh. Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk menempuhi semua ini."

Fizah juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa keadaan bapa mentuanya baik-baik sahaja sebelum diserang angin ahmar.

"Kami ada menghadiri satu majlis perkahwinan sama-sama. Ayah OK saja. Tidak ada masalah, tak ada cakap yang dia sakit," ujar beliau.

"Buat masa ini Mama cuba kuat. Kami sekeluarga juga cuba untuk kuat," luah Fizah, merujuk kepada ibu mentuanya, Aminah Ahmad yang juga seorang pelakon veteran tempatan.

J.A Halim sudah berkecimpung dalam bidang lakonan selama lebih 50 tahun. Antara drama lakonannya termasuk antologi filem pendek, 7 Letters dan Naluri Ayah.

Tahun ini, dalam Pesta Perdana ke-15, J.A Halim merangkul piala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama Khas) melalui telemovie Gunting. 

Beliau juga membuat kemunculan dalam siri filem pendek Kisah Generasi Merdeka II, yang berjudul A Mother's Heart, bersama-sama isterinya. Siri itu sedang ditayangkan di saluran-saluran TV Mediacorp dan juga lelaman Merdeka Generation.

- BERITAmediacorp/nk

Top