Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Sharnaaz Ahmad enggan ulas isu perceraian

"Saya sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya."

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Sharnaaz Ahmad enggan ulas isu perceraian

(Gambar: Sharnaaz Ahmad/ Instagram)

Diterbitkan : 01 Sep 2019 10:32PM Dikemas Kini : 01 Sep 2019 10:34PM

KUALA LUMPUR: "Saya sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya."

Itulah pengakuan Noor Nabila Mohd Noor, yang merupakan kakak kepada pelakon dan pengacara terkenal Malaysia, Neelofa, kepada portal BH Online berhubung spekulasi mahligainya bersama pelakon Sharnaaz Ahmad berantakan.

Nabila, yang juga Pengarah Urusan NH Prima International, bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

“Seperti khabar angin yang bertebaran, saya mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya, Sharnaaz Ahmad.

“Buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada mahkamah. Saya berharap saya dan keluarga diberi ruang untuk melalui proses ini dengan sabar dan tenang,” ujar wanita berusia 35 tahun itu.

Dalam temu bual dengan BH Online, Nabila juga menegaskan bahawa masa depan anak tunggal beliau bersama Sharnaaz, Jebat Jayden yang baru berusia setahun, adalah menjadi keutamaannya.

“Doakan kesejahteraan saya dan anak saya,” pinta Nabila.

Beberapa hari lalu, rumah tangga pasangan Sharnaaz dan Nabila menjadi perhatian apabila sebuah portal menyiarkan artikel bahawa Nabila memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Nabila juga dilaporkan memuat naik sekeping foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story akaun media sosialnya.


PENJELASAN SHARNAAZ

Bagi Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, tiada apa yang mampu dilakukannya selain daripada menerima dengan penuh keredaan seandainya memfailkan perceraian adalah jalan terbaik buat Nabila.

"Sebetulnya, saya sendiri tidak tahu nak cakap apa. Memandangkan perkara itu (perceraian) dia (Nabila) yang minta, saya kena ikut sajalah (buat masa sekarang).

"Saya tidak akan bercakap hal yang buruk (mengenai perceraian) kerana saya masih matang dan waras untuk memikirkan bahawa Nabila adalah ibu kepada anak kami (Jebat Jayden)," komen Sharnaaz mengenai isu keretakan rumah tangganya.

"Hal rumah tangga adalah terlalu peribadi. Sejak dari awal saya tidak gemar berkongsi dengan media. Namun, kerana hal ini sudah dibawa ke mahkamah, saya sekadar ingin memberitahu bahawa saya cukup matang untuk melaluinya," jelas Sharnaaz kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Sabtu (31 Ogos).

Sharnaaz berkata demikian sebagai mengulas tindakan isterinya, Nabila, yang membuat pengakuan sudah memfailkan perceraian terhadapnya.

Nabila dan Sharnaaz, 34 tahun, mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan