Images
  • selena j lo
    Gambar Selena Tan dan Jennifer Lopez (Gambar fail: Genevieve Loh/CNA dan Gary Hershorn/Pool via REUTERS)

Pelakon S'pura Selena Tan digandingkan dengan J Lo dan Lenny Kravitz dalam filem Hollywood

SINGAPURA: Bakat Singapura Selena Tan bakal digandingkan dengan barisan bintang Hollywood dalam satu filem aksi komedi, Shotgun Wedding.

Diterajui pengarah 'Pitch Perfect', Jason Moore, filem itu sedang melalui penggambaran di Dominican Republic.

Pelakon yang juga penulis dan pengarah dari Singapura itu akan muncul di samping pelakon utama Jennifer Lopez dan Josh Duhamel (yang menggantikan Armie Hammer yang terkait skandal) dengan memegang watak Marge, ketua resort perkahwinan.

Lopez dan Duhamel akan memainkan watak bakal mempelai yang membawa keluarga masing-masing ke destinasi majlis perkahwinan yang diidamkan. Keadaan menjadi rumit apabila secara tiba-tiba nyawa mereka berada dalam bahaya apabila kesemuanya menjadi tebusan.

Bintang rok dan pemenang anugerah Grammy empat kali Kravitz akan memainkan watak Sean, bekas kekasih Grace yang dilakonkan Lopez. Pelakon komedi Cheech Marin pula akan memainkan watak Robert, bapa Grace.

Tan memuat naik di akaun media sosialnya pada Isnin (15 Feb) menunjukkan bahawa beliau sudahpun berada di Dominican Republic dan sudah menjalani ujian pertama COVID-19.

“Hello Dominican Republic! Saya sudah ambil ujian Covid pagi ini dan jika semua berjalan lancar lewat hari ini, saya akan diberi kebenaran bekerja!" tulis beliau.

Tan ialah seorang veteran di pentas teater dan kaca TV Singapura. Beliau pernah muncul dalam filem Hollywood pecah panggung Crazy Rich Asians, selain siri TV popular tempatan Under One Roof, Phua Chu Kang, Living With Lydia, serta siri filem I Not Stupid arahan Jack Neo.

Beliau juga pengasas syarikat seni dan hiburan Dream Academy yang menerbitkan pelbagai persembahan hiburan seperti Broadway Beng. Beliau turut terkenal sebagai sebahagian dariapada trio kabaret Dim Sum Dollies.

- CNA/TQ/tq

Top