Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon S’pura Iswan Ismail ‘ternangis’ dapat tahu jadi finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular

Dua pelakon Singapura Iswan Ismail dan Hannah Delisha berjaya melangkah ke peringkat Top 5 dalam kategori popular masing-masing, bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32, Malaysia (ABPBH). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon S’pura Iswan Ismail ‘ternangis’ dapat tahu jadi finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular

Iswan Ismail. (Gambar-gambar: iswanismail88/Instagram)

BERITAmediacorp: Dua pelakon Singapura Iswan Ismail dan Hannah Delisha berjaya melangkah ke peringkat Top 5 dalam kategori popular masing-masing, bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32, Malaysia (ABPBH).

Hannah Delisha bertarung dengan Erra Fazira, Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Delima Wati untuk menentukan siapakah nanti yang bakal bergelar juara menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Iswan berjaya ke senarai lima finalis terakhir untuk kategori Artis Baharu Lelaki Popular dan bersaing dengan Adam Lee, Afieq Shazwan, Raja Atiq dan Ryan Deedat.

Di kalangan penggiat seni hiburan dan artis di seberang tambak, ABPBH dilihat sebagai acara tahunan yang berprestij yang memberi pengiktirafan kepada yang ‘terbaik daripada yang terbaik’ dalam industri hiburan Malaysia.

Artis-artis yang berjaya dicalonkan sebenarnya dipilih oleh para peminat sendiri yang mengundi secara online, sehingga tersenarai sebagai “Top 5” untuk setiap kategori. Sekali gus, ia membayangkan populariti seseorang artis tersebut.

ISWAN: “SAYA RASA MESTI TAK DAPAT”

Untuk ABPBH tahun ini Iswan berkongsi bahawa beliau tidak sangka sama sekali akan dicalonkan.

(Gambar: iswanismail88/Instagram)

“Sebelum ini kan Iswan susah nak cari job (lakonan) di KL. Kadang pergi casting tak dapat. Dapat job pun tak back to back. Iswan memang rasa tidak ada harapan, tak fikir pun tentang ABPBH dan cuma fokus nak perbaiki diri dan cari kerja. Tak fikir pasal anugerah, pasal pencalonan,” katanya tanpa berselindung kepada BERITAmediacorp.

Bahkan apabila beliau berjaya disenaraikan ke saringan pertama iaitu Top 20 pun, beliau agak terperanjat sebenarnya.

“Masa tercalon untuk Top 20 pun saya tak tunggu sebab saya rasa mesti tak dapat, saya tak terfikir pun. Saya tengah makan, kawan mesej dan kata tahniah dapat Top 20 untuk ABPBH,” dedah Iswan.

Meskipun begitu, beliau tetap berasa terharu dengan pencalonan untuk ABPBH tahun ini.

ISWAN MENANGIS BILA DIBERITAHU DAPAT TOP 5

Sehari sebelum penganjur umumkan senarai terakhir Top 5 , Iswan tidak dijemput ke sidang media di Kuala Lumpur. Tambah pula apabila seseorang mengatakan kepadanya jika Iswan berjaya tercalon ke Top 5, sudah semestinya beliau akan dijemput hadir untuk sidang media.

“Bila sidang media berlangsung , Iswan pergi gim. Tak nak tengok. Kemudian dapat panggilan dari presiden kelab peminat yang menangis dan kata Iswan dapat top 5. Iswan ternangis sikitlah sebab Kak Norli, presiden (kelab peminat) menangis. Bila balik rumah, saya peluk mak dan bagi tahu dapat Top 5,” dedah beliau berterus terang kepada BERITAmediacorp.

Kelab peminat Iswan iaitu Iswan Force melakarkan strategi mereka sendiri untuk memastikan Iswan mendapat undian terus dengan harapan Iswan akan menang. Mereka berbincang setiap hari berapa ramai yang harus mengundi sehingga “makcik, pakcik dan kawan-kawan” pun disarankan mengundi Iswan untuk kategori tersebut.

Jejaka lulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Kuala Lumpur itu mengakui betapa pentingnya seseorang artis itu senang didekati peminat melalui media sosial juga.

Makanya, beliau rajin membalas mesej peminat di Instagram yang menyapanya atau memberi komen.

ISWAN KINI DALAM PENGGAMBARAN ‘TEKAN MINYAK 2’

“Peminat undi kita, tonton drama-drama kita. Iswan tidak rasa ada jurang antara artis dan peminat, kalau Iswan rasa sedih tak dapat job pun mereka kata mereka masih sokong Iswan dan kata jangan putus asa. Penting ada peminat yang menyokong terus.

“Disebabkan mereka, Iswan terus kuat untuk kekal dalam industri ini, tak nak hampakan sokongan mereka selama ini,” kata pelakon yang sedang meningkat naik itu.

Kekadang beliau meluangkan masa bersama dengan peminat-peminat dengan berjalan Raya atau berkaraoke sekali-sekala untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

Iswan yang kini menjalani penggambaran drama berjudul Tekan Minyak 2 untuk saluran TV Suria di Singapura turut ditanya apakah wajah kacak boleh dianggap sebagai pasport untuk seseorang pelakon diminati dan sekali gus menarik lebih ramai undi untuk ABPBH? Ini jawapan Iswan kepada kami:

“Ya sebab pertama orang akan guna mata untuk tengok. Untuk menarik perhatian, mereka akan tengok dan kalau sedap mata memandang mereka akan tengok lebih mendalam. Tapi untuk kekalkan minat pada seorang artis, kena lebih pada visual. Visual itu membuat mereka senang bosan sebenarnya, ada yang lagi kacak muncul lagi, ada yang berdarah kacukan keluar.”

Namun beliau berpendapat bahawa artis juga harus kekal relevan, tidak sombong, melayan peminat di laman sosial. Bukan setakat bersandarkan kepada wajah kacak sahaja.

Beliau mendekatkan diri kepada peminat sebagai ucapan terimakasih atas sokongan mereka. Lagipun katanya, peminat tidak meminta apa-apa pun dari artis. Peminat hanya ingin dihargai sahaja.

RASA TERTEKAN JADI ‘WAKIL SINGAPURA’ BAGI ABPBH?

Apakah Iswan rasa tertekan kerana secara tidak langsung mewakili Singapura untuk ABPBH ke-32 tahun ini? Tanpa berfikir panjang beliau menjawab:

“Iswan tak rasa ia satu beban atau tertekan jadi wakil Singapura. Kita semua dalam industri yang sama. Iswan tak rasa Iswan harus buktikan rakyat Singapura boleh menang atau lebih bagus sebab semua berbakat.”

Beliau turut menghargai peminat-peminat Singapura yang mengatakan padanya bahawa mereka bangga ada wakil dari Singapura dengan harapan agar Iswan dapat mengharumkan nama Singapura dengan memenangi ABPBH nanti.

Pelakon berusia 30 tahun itu gembira juga kerana masih ada peminat-peminat di sini yang mengenalinya. Terangnya:

“Bila Iswan balik ke Singapura untuk latihan kerahan (reservist), mereka kata mereka tengok drama Iswan di Malaysia. Iswan juga berharap mereka akan undi Iswan. Dengan undian dari Singapura dan Malaysia, Iswan harap ia boleh membawa kepada kemenangan Insya Allah. Iswan harap dapat menang bagi peminat-peminat yang bekerja keras undi setiap hari.”

Undian calon Top 5 ABPBH 32 sedang berjalan di www.abpbh.com.my. ABPBH ke-32 akan berlangsung pada 22 September ini dan disiarkan secara langsung oleh TV3 .  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan