Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Muhamad Niezam bersama pengarah, penolong pengarah mengaku bersalah miliki dadah

Pelakon drama dan filem, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, dan dua yang lain hari ini (12 Okt) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Muhamad Niezam bersama pengarah, penolong pengarah mengaku bersalah miliki dadah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 07:43PM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 07:44PM

KUALA KANGSAR: Pelakon drama dan filem, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, dan dua yang lain hari ini (12 Okt) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah.

Muhamad Niezam, 29 tahun, bersama pengarah Mohd Latif Zami, 49 tahun, dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, 43 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis ganja dan methamphetamine.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Muhamad Niezam dan Mohd Latif didakwa masing-masing memiliki 1.15 gram dan 0.3 gram dadah jenis ganja di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsa, pada 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 (S$6,500) atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine pada tempat, tarikh dan masa sama. Dia dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 (S$32,500) atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM6,000 (S$1,900) bagi Muhamad Niezam dan Mohd Latif manakala RM8,000 (S$2,600) bagi tertuduh ketiga.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Intan Shafini Mior Shahrin, yang mewakili kesemua tertuduh, memohon jaminan rendah dengan alasan anak-anak guamnya baru sahaja memulakan penggambaran pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Mahkamah membenarkan Muhamad Niezam dan Mohd Latif masing-masing diikat jamin RM3,000 (S$975) dan RM2,600 (S$845) manakala jaminan RM3,200 (S$1,000) bagi Saiful Zaidrin berserta seorang penjamin.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Awal dari itu, kesemua tertuduh tiba di bangunan mahkamah kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, kesemua mereka ditahan di set lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman tersebut.

Muhamad Niezam Mohd Zaidi sebelum ini terkenal dengan lakonan di dalam filem Budak Pailang dan Highland Tower, selain drama seperti Diari Platun, Dewi Lasak dan Mencintaimu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan