Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon M'sia Noorkhiriah tawar khidmat percuma urus jenazah

Pelakon Malaysia Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44 tahun, berkongsi bahawa beliau kini mempunyai empat van jenazah di bawah Pertubuhan Amal Nur by Khiriah yang diusahakannya sendiri lebih setahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon M'sia Noorkhiriah tawar khidmat percuma urus jenazah

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 07 Sep 2021 09:50PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 09:53PM

KUALA LUMPUR: Pelakon Malaysia Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44 tahun, berkongsi bahawa beliau kini mempunyai empat van jenazah di bawah Pertubuhan Amal Nur by Khiriah yang diusahakannya sendiri lebih setahun lalu.

Umpama 'saham akhirat' baginya dan suami, Azfaizul Ahtan, pelakon drama Nur itu mengakui bahawa beliau berasa gembira dan yakin kerana rezeki sentiasa ada untuk beliau terus mengusahakan kerja amal itu.

"Bila kenang balik, rasa hendak menangis, seperti mimpi buat semua ini. Bermula dengan borak-borak bersama suami pada Perintah Kawalan Pergerakan 1 (PKP1).

"Kemudian, keluarkan duit ASB (Amanah Saham Bumiputera) untuk tukarkan kereta jadi van jenazah, tiba-tiba sudah setahun lebih @pertubuhanamalnurbykhiriah," tulisnya di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Noorkhiriah berkata pelbagai perkara difikirkan pada mulanya apabila beliau membuat keputusan mahu cuba menggerakkan sendiri pertubuhan amal berkenaan.

"Alhamdulillah, daripada satu van jenazah, tiba-tiba jadi dua dan kini sudah ada empat. Dua daripadanya adalah hasil infak. Baiknya Allah, dipermudahkan dari mula sampai sekarang.

"Ditambah ada yang tidak putus-putus menyumbang. Dari satu kes ke satu kes, pelbagai cara kematian. Sampai saya tidak berani buka galeri gambar suami," tulisnya lagi.

Noorkhiriah berkata pertubuhannya memberikan perkhidmatan mengurus jenazah secara percuma sepenuhnya, bermula daripada kain kafan sehinggalah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

"Doakan usaha kami terus dipermudahkan untuk membantu mereka yang memerlukan tidak kira tua, muda, miskin dan kaya. Sampai ke tanah kubur kami hantar dan kami akan bantu, itu janjinya.

"Suami dan saya memang buat aktiviti uruskan jenazah untuk pertubuhan kami secara percuma. Dari mandi, kafan, solat sampai hantar ke tanah perkuburan, tidak perlu bayar walau sepuluh sen," katanya.

Menurut Noorkhiriah, kini apa yang diharapkan orang ramai terus mendoakan usahanya bersama suami sentiasa dipermudahkan oleh Allah agar dapat membantu lebih ramai orang pada masa akan datang. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan