Images
  • r (1)
    Joaquin Phoenix sebagai watak Joker. (Gambar: jokermovie/Instagram)

Pelakon Joker terlibat dalam nahas dengan trak paramedik

LOS ANGELES: Bintang 'Joker' - filem yang kini sedang hangat di pasaran - iaitu Joaquin Phoenix, terbabit dalam kemalangan di Amerika Syarikat pada Selasa lalu (8 Okt) selepas melanggar sebuah trak bomba di Los Angeles (LA) ketika keretanya keluar dari tempat letak kereta. Demikian menurut laman berita TMZ.

Kereta Phoenix difahamkan mengalami kerosakan teruk manakala trak bomba Jabatan Bomba Daerah L.A. yang tiada pemandu itu hanya tercalar sedikit. Sekalipun demikian, beliau berusaha untuk cuba mengesan pasukan paramedik itu untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Menurut TMZ, Phoenix berjaya menemui para anggota paramedik dan menukar maklumat insurans selepas menghubungi polis. Aduan kerosakan difailkan kerana kerosakan dalam kemalangan tersebut melibatkan harta benda awam daerah L.A.

Polis Los Angeles menyatakan Phoenix saling bekerjasama dan mudah untuk berurusan serta menghormati pegawai dan anggota paramedik. Mereka tidak menyaman beliau kerana ia kesalahan kecil.

Hujung minggu lalu, filem sugul Joker memecah panggung apabila ia melonjak ke tangga teratas untuk menjadi filem nombor satu di dunia. Bahkan, ia turut memecahkan beberapa rekod lain.

Meskipun terdapat keprihatinan berhubung soal kontroversi dan keselamatan, filem komik tersebut berjaya meraih pungutan AS$93.5 juta (S$128 juta) ketika tayangan pembukaan hujung minggu dan kini kekal sebagai filem paling popular bulan ini.

Di Singapura, filem NC16 Joker secara rasminya mengungguli carta filem pembukaan hujung minggu (3-6 Okt) dengan jumlah tontonan tertinggi. Ia berjaya mengutip sebanyak S$1.89 juta di pawagam tempatan. Joker kini menjadi filem pecah panggung nombor satu di Singapura selama dua minggu berturut-turut.

- Agensi berita/FZ/fz

Top