Images
  • gina carano star wars
    Pelakon Gina Carano semasa memegang watak Cara Dune dalam siri Star Wars 'The Mandalorian' (Gambar: Disney+)

Pelakon Gina Carano digugurkan daripada 'The Mandalorian' ekoran catatan media sosial

AMERIKA SYARIKAT: Lucasfilm mengumumkan Gina Carano bukan lagi sebahagian daripada barisan pelakon siri The Mandalorian selepas ramai warga siber menggesa beliau digugurkan berhubung satu catatan media sosial yang menyamakan pengalaman orang Yahudi semasa Holocaust dengan iklim politik Amerika Syarikat.

Seorang jurucakap syarikat penerbitan itu berkata dalam satu kenyataan pada Rabu (11 Feb) bahawa Carano tidak lagi diambil oleh Lucasfilm dan pihaknya "tiada rancangan untuk mengambilnya bekerja di masa depan".

"Walau apapun, catatan media sosialnya yang memperkecilkan orang berdasarkan identiti budaya dan agama mereka sangat menjijikkan dan tidak dapat diterima," tegas kenyataan itu.

Carano menerima kritikan hebat setelah beliau berkata bahawa "Orang Yahudi dipukul di jalanan, bukan oleh askar Nazi tetapi oleh jiran tetangga mereka .... bahkan oleh kanak-kanak".

Pelakon itu menambah, "Kerana sejarah disunting, kebanyakan orang hari ini tidak menyedari bahawa untuk sampai ke tahap askar Nazi boleh mengumpulkan ribuan orang Yahudi dengan mudah, pemerintah terlebih dahulu membuat jiran mereka sendiri membenci mereka hanya kerana mereka orang Yahudi. Bagaimanakah itu berbeza daripada membenci seseorang kerana pandangan politiknya?"

Carano, yang melakonkan watak berulang Cara Dune dalam siri Star Wars, memadamkan catatan itu tetapi ia telah dikongsi secara meluas online dan mencetuskan tanda pagar #FireGinaCarano (Gugurkan Gina Carano) hingga menjadi trend. Wataknya muncul dalam beberapa episod pada musim kedua The Mandalorian, sebuah siri mengenai pembunuh upahan.

Carano, bekas atlit seni bela diri campuran yang membawa watak Dune yang lasak, telah dikritik berhubung catatan-catatan media sosial yang mengejek pemakaian pelitup semasa pandemik dan mendakwa penipuan dalam pilihan raya presiden 2020. 

LAPORAN LAIN:

- AP/TQ/tq

Top