Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Farid Kamil dakwa tidak sedar bagaimana sampai ke balai polis

Farid Kamil Zahari yang menghadapi empat dakwaan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, memberitahu mahkamah pada Jumaat (30 Ogos) bahawa beliau tidak sedar bagaimana beliau sampai ke balai polis itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Farid Kamil dakwa tidak sedar bagaimana sampai ke balai polis

Pelakon Malaysia, Farid Kamil. (Gambar: Farid Kamil/Instagram)

Diterbitkan : 31 Aug 2019 08:21AM Dikemas Kini : 31 Aug 2019 08:28AM

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon filem popular, Farid Kamil Zahari yang menghadapi empat dakwaan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, memberitahu Mahkamah Majistret di Petaling Jaya pada Jumaat (30 Ogos) bahawa beliau tidak sedar bagaimana beliau sampai ke balai polis itu.

Farid Kamil, 38, berkata sebelum itu beliau berasa pening dan tekak kering selepas menghisap sebatang rokok balut dan meminum air teh yang diberikan kenalan baru dan rakan artisnya ketika berjumpa mereka di sebuah pejabat dalam gudang milik rakan artis itu di Kayu Ara, Petaling Jaya pada pukul 10.10 malam 9 Januari tahun lalu.

Suami kepada pelakon Diana Danielle itu berkata, selepas menghisap rokok yang diberikan salah seorang kenalan baru itu (teman kepada rakan artis iaitu anggota kumpulan popular 90-an), beliau mengalami pening yang teruk dan tekaknya menjadi kering.

“Saya tak pernah rasa pening macam itu. Lepas itu saya tak sedar, saya tak ingat apa yang berlaku. Beberapa jam selepas itu, saya sedar saya tidak berada di pejabat rakan artis itu.

“Tetapi, saya disedarkan oleh beberapa pegawai polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail,” katanya semasa ditanya peguam Amirul Ridzuan Hanif ketika membela diri pada harı pertama perbicaraan di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Pada 21 Jun lalu, mahkamah itu memerintahkan Farid Kamil membela diri atas empat dakwaan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 16 Jan 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua dakwaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36, dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga berdepan dengan dua dakwaan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Muhammad Nizam dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di balai polis berkenaan pada 1.20 pagi, 11 Jan 2018, mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan mahkamah menetapkan 23 dan 24 September untuk menyambung keterangan Farid Kamil. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan