Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Erwin Dawson jadi penghantar makanan semasa tempoh pemutus rantaian COVID-19

Jangan terkejut sekiranya pelakon Erwin Dawson menghantar makanan ke rumah anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Erwin Dawson jadi penghantar makanan semasa tempoh pemutus rantaian COVID-19

(Gambar: erwin_dawson/Instagram)

Diterbitkan : 23 Apr 2020 03:26PM Dikemas Kini : 23 Apr 2020 03:30PM

KUALA LUMPUR: Jangan terkejut sekiranya pelakon Erwin Dawson menghantar makanan ke rumah anda.

Sejak tempoh pemutus rantaian COVID-19 dikuatkuasakan di Singapura, Erwin atau nama sebenarnya, Mohamed Erwin Shah Evan Dawson melakukan kerja sebagai penghantar makanan dengan menaiki basikal.

BH Online melaporkan bahawa pelakon kacukan Melayu dan New Zealand itu tidak suka memikirkan tanggapan orang terhadap dirinya. Malah, beliau juga tidak kisah sekiranya ada yang menganggapnya terdesak dan melakukan kerja tidak 'glamour'.

“Saya tak mampu mengawal tanggapan orang. Jika tanggapan betul sekalipun, saya tetap memandangnya dari sudut positif. Bagi saya, asalkan ada kekuatan dan beroleh rezeki halal, saya akan teruskan.

“Saya bersyukur masih ada kerja walaupun sebagai penghantar makanan. Saya lihat ramai yang susah dan putus punca pendapatan sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

“Golongan kurang upaya menghadapi masalah lebih berat lagi. Jadi, apapun pekerjaan yang dilakukan mengajar saya erti syukur dengan usaha dilakukan. Asalkan tidak menyusahkan orang itu adalah lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Pelakon berusia 31 tahun itu juga berkongsi dengan BH Online bahawa ia lebih baik daripada terkurung dalam rumah.

Menurutnya lagi, selain dapat mengamalkan gaya hidup sihat dengan menaiki basikal, pada masa yang sama beliau dapat juga menjana pendapatan tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan.

Malah beliau berkongsi bahawa bapa, abang, kakak ipar dan adiknya juga bekerja sebagai penghantar makanan.

Erwin berkongsi dengan BH Online: “Saya bersyukur berada bersama keluarga dalam tempoh kawalan pergerakan. Jika tidak, mungkin saya terperangkap dan sedang bersedih seorang diri di Kuala Lumpur."

Pelakon drama 30 Pesanan Suara dan Setelah Terlafaznya Akad itu berkata, beliau sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur selepas menyelesaikan penggambaran drama Mediacorp Suria di Singapura.

Namun beliau membatalkan rancangannya itu setelah Malaysia melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa pekerjaan penghantar makanan dilakukan hanya pada tempoh pemutus rantaian ini.

“Saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan penggambaran dua drama selepas keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan