Images
  • afdlin shauki
    (Gambar: Facebook/Afdlin Shauki)

Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki tidak tolak kemungkinan ceburi politik

KUALA LUMPUR: "Bukannya saya tak boleh buat semuanya tanpa menyertai politik. Tapi, kalau ini adalah cara yang lebih berkesan dan mampu memberi manfaat, apa salahnya."

Begitulah luahan pelakon dan pengarah dari Malaysia, Afdlin Shauki, dalam mengulas hasratnya untuk menyertai bidang politik.

Berkongsi dengan Harian Metro, Afdlin berkata hasrat itu timbul selepas disarankan oleh seorang kenalan.

"Saya ada terfikir juga mengenainya (menyertai politik). Saya banyak menyertai kerja-kerja menghulurkan bantuan dan sumbangan kemanusiaan, jadi ada kenalan yang menyarankan supaya saya menyertai politik.

"Menurutnya, sekiranya saya menyertai politik, saya boleh membantu dengan jangkauan yang lebih meluas," katanya kepada Harian Metro.

Beliau turut berpendapat bahawa penyertaannya dalam politik membolehkannya menjadi suara yang mewakili para penggiat seni dan industri di Malaysia.

"Penggiat seni adalah golongan yang melihat sendiri apa yang berlaku di peringkat bawah atau asas. Jadi, secara tak langsung, kita tahu apa masalah yang wujud dan perlu diperbetulkan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro. 

"Saya rasa, ini juga satu sebab kenapa perlu ada wakil daripada penggiat seni atau orang industri supaya nasib kita terbela."

- Agensi berita/TQ/tq

Top