Images
  • rhea
    Pelakon Bollywood, Rhea Chakraborty. (Gambar: AFP)

Pelakon Bollywood diberkas selepas teman lelaki bunuh diri

MUMBAI: Pelakon Bollywood, Rhea Chakraborty diberkass kerana didakwa membeli dadah untuk bekas teman lelakinya, pelakon Sushant Singh Rajput, yang maut selepas membunuh diri, Jun lalu.

Rajput, 34, ditemui mati Jun lalu di apartmennya di Mumbai, dan disahkan polis telah membunuh diri.

Kematian pelakon yang membintangi banyak filem popular di negara itu, mencetuskan perbincangan mengenai kesihatan mental dalam industri bernilai berbilion dolar itu.

Namun keluarga Rajput menafikan laporan yang menyatakan pelakon itu menderita kemurungan, sebaliknya menuduh Chakraborty, 28, mencuri wangnya dan mengganggu pelakon lelaki itu. Dia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Chakraborty ditangkap pada Selasa (8 Sep). Polis juga menangkap beberapa suspek lain yang ada kaitan dengan kes itu termasuk abangnya dan seorang pekerja di rumah Rajput.

Biro Penyiasatan Pusat, agensi anti jenayah utama India, menyiasat kematian pelakon itu sejak bulan lalu.

Biro Kawalan Narkotik (NCB) pula menyiasat mengenai pengambilan ganja oleh pelakon itu.

"Kami tidak membenarkan ikat jamin untuk semua suspek," kata Pengarah NCB, Mutha Ashok Jain kepada para wartawan.

Chakraborty kini direman sehingga 22 September. Siasatan kematian Rajput itu menjadi tajuk berita utama media tempatan beberapa bulan ini, dengan media melaporkan pelbagai tuduhan membabitkan keluarga Rajput dan Chakraborty.

Beberapa selebriti termasuk pelakon, Sonam Kapoor dan pengarah Anurag Kashyap menuduh saluran TV sengaja "memburu" Chakraborty.

Dilahirkan di timur negeri Bihar, Rajput berhenti daripada pengajian kejuruteraan bagi meneruskan minatnya dalam bidang lakonan dan tarian.

Pelakon itu mula popular pada 2013 selepas membintangi filem "Kai Po Che", yang mengisahkan mengenai kriket, cinta, dan politik yang mendapat pujian ramai di festival filem Berlin.

Lakonannya dalam filem biografi wira kriket India, Mahendra Singh Dhoni yang popular pada 2016 turut mendapat pujian ramai.

Filem terakhir Rajput adalah filem yang diilhamkan dari filem cinta Hollywood "The Fault in Our Stars", berjudul "Dil Bechara" yang ditayangkan Julai lalu.

- AFP/NA/na

Top