Images
  • idris md diah
    (Gambar: Media sosial)

Pelakon 7 Hari Mencintaiku 2 Idris Md Diah meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Idris Md Diah, 61 tahun, meninggal dunia awal pagi Isnin (14 Sep), menurut laporan media Malaysia.

"Inna lillahi wa'inna ilaihi roji'un, Al-Fatihah dan doa sejahtera buat Allahyarham seniman Idris Md Diah yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini," tulis rakan seperjuangan Azman Hassan dalam satu catatan Facebook dan dipetik oleh Astro Awani.

Kosmo! Online mengesahkan khabar tersebut dengan anak saudara Allahyarham Idris, Nurul Nabihah Md Rizal.

“Benar, bapa saudara saya meninggal dunia awal pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya. Saya diberitahu tentang perkara tersebut pada pukul 3.00 pagi tadi,” kata Nabihah kepada laman tersebut.

Anak Allahyarham, Alia, memaklumkan media tempatan ayahnya didapati tidak sedarkan diri sejak sekitar jam 2.00 pagi dan keluarga terus menghubungi ambulans.

Idris disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada 2.30 pagi.

Laman Gempak melaporkan anaknya sebagai berkata bahawa ayahnya hilang selera makan sejak dua tiga hari yang lalu.

Jenazah Allahyarham Idris dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong untuk pengurusan solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong sebelum zohor.

Allahyarham Idris sangat sinonim dengan watak-watak bapa dan datuk dalam beberapa drama.

Antara penampilan terkini Allahyarham Idris adalah dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2, di mana beliau menjayakan watak Pak Andak.

- Agensi berita/TQ/tq

Top