Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Peguam Farid Kamil kemalangan, perbicaraan kes ditangguhkan

Perbicaraan kes pelakon dan pengarah terkenal Farid Kamil Zahari pada hari ini (22 Jan) yang didakwa menampar anggota polis trafik ditangguhkan berikutan peguam yang mewakili Farid Kamil mengalami kemalangan jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Farid Kamil kemalangan, perbicaraan kes ditangguhkan

Pengarah dan pelakon Malaysia, Farid Kamil Zahari. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Jan 2019 04:25PM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 04:31PM

PETALING JAYA: Perbicaraan kes pelakon dan pengarah terkenal Farid Kamil Zahari pada hari ini (22 Jan) yang didakwa menampar anggota polis trafik ditangguhkan berikutan peguam yang mewakili Farid Kamil mengalami kemalangan jalan raya.

Peguam Meor Amir Meor Omar Baki, yang menyebut bagi pihak peguam Megat Syazlee Mokhtarom, memaklumkan demikian ketika kes itu disebut untuk sambung bicara di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

“Peguam Farid Kamil, Megat Syazlee terlibat kemalangan, beliau patah tangan. Mohon tarikh perbicaraan hari ini (22 Jan) dan esok dilapangkan,” katanya dan menambah Encik Megat Syazlee perlu menjalani pembedahan dan beliau memohon tarikh sebutan baru bagi memaklumkan lebih lanjut keadaan Megat Syazlee.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak membantah dan memohon mahkamah merekodkan kehadiran seorang pegawai perubatan sebagai saksi pendakwaan kelima yang sepatutnya memberi keterangan hari ini (22 Jan).

Mahkamah menetapkan 31 Jan untuk sebutan kes itu.

Meor Amir bagaimanapun memohon kehadiran Farid Kamil dikecualikan pada sebutan kes tersebut namun Encik Nor Ariffin menolak permohonan itu dan memberitahu Farid Kamil perlu hadir bagi memudahkan penetapan tarikh perbicaraan yang baru selain pelakon itu mempunyai satu lagi perbicaraan berhubung kes dadah pada hari sama.

Ketika ditemui media di luar bilik bicara, Meor Amir berkata Encik Megat Syazlee mengalami kemalangan pada Ahad (20 Jan) ketika beliau sedang menunggang motosikalnya dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Farid Kamil, yang kelihatan ceria dan ramah pula mengucapkan terima kasih kepada wartawan kerana sentiasa membuat liputan dan mengikuti perkembangan kesnya.

Pada 16 Jan 2019, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan