Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Papa Rock' Ramli Sarip keluarkan album penuh terbaru - yang pertama dihasilkan di S'pura dalam 35 tahun

Selepas 35 tahun, penyanyi legenda Ramli Sarip kembali menghasilkan album penuh berjudul 'Rasa' di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas 35 tahun, penyanyi legenda Ramli Sarip kembali menghasilkan album penuh berjudul 'Rasa' di Singapura.

Album tersebut memuatkan 10 buah lagu, yang berkisar kematangan hidup Ramli Sarip yang sudah lebih 50 tahun berkarya dalam industri seni.

Kali terakhir album penuh beliau diterbitkan di Singapura - Bukan Kerana Nama - adalah pada tahun 1986 di bawah naungan Warner Music Singapore.

HASILKAN ALBUM DI TENGAH-TENGAH COVID

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp, Ramli menggelarkan penerbitan album itu ibarat "momen besar" bagi dirinya, yang berjaya menyiapkannya dalam pandemik COVID-19.

"Dengan situasi yang sangat sederhana di Singapura, tak ada benda yang besar berlaku,saya rasa dalam industri seni rakaman, saya anggap ini agak besar.

"Walaupun saya pernah melalui zaman-zaman yang lebih daripada ini, saya anggap benda ini sesuatu momen yang besar bagi saya," kongsi 'Papa Rock' ini.

Tiga daripada 10 buah lagu itu bahkan sudah mula diterbitkan di Kuala Lumpur sekitar dua tahun lalu.

Gambar: Facebook/Ramli Sarip Official

(Gambar: Ramli Sarip Official)

Namun pandemik yang melanda Singapura sekitar awal tahun lalu memaksa Ramli untuk berhenti seketika dan kembali ke Singapura.

"Saya ke Bandung untuk bertemu kawan seniman saya untuk berkarya tetapi tak kesampaian. Tiket sudah dibeli untuk pergi dari Bandung ke Jakarta tapi tak sempat sebab keluarga dan juga teman-teman suruh balik ke Singapura sebab COVID makin meningkat di sana.

"Saya balik terus dan kuarantin (kendiri) untuk 14 hari di rumah di Singapura."

Mujur masa kuarantin itu memberi semangat baru kepada Ramli yang berhasil meraih ilham bagi lagu-lagu baru.

"Saya baca sedikit buku untuk melegakan tekanan, mencari lagu dan membuat melodi.

"Dari situ, ia menghasilkan benda-benda yang sangat positif," kata bekas vokalis Sweet Charity ini.

SENTUHAN ANAK JATI SINGAPURA

Di Singapura, penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Teratai' dan 'Kamelia' ini menghabiskan lagi tujuh lagu lagi bersama para pemuzik mahir setempat seperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.

Yang jelas, kerjasama tersebut membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan.

"Saya dapat sekurang-kurangnya 60 peratus benda baru yang tak pernah saya dapat pada masa dulu.

"Saya dapat elemen yang baru, 'chemistry' dan susunan muzik yang moden, yang bagi saya sangat menarik.

"Ia bukan (penglibatan) anak moden saja, ia (melibatkan) anak watan Singapura," ujar beliau.

Keseluruhannya, mereka hanya mengambil masa sekitar dua bulan setengah sahaja bagi menyiapkan album tersebut di sini.

ALBUM PELBAGAI GENRE

Album tersebut juga merangkumi pelbagai jenis genre termasuk etnik, soul, rock, nusantara dan pop rock.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan termasuk Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian
Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.

Penyanyi yang bakal menginjak usia 69 tahun ini turut memilih untuk merakamkan semula lagu Ayah dan Ibu, yang pertama kali dicipta dan dirakamkan A Rahman sekitar 1940-an.

“Lagu ini dipilih sebagai mengenang Ayah dan Ibu yang telah lama meninggalkan kami. Anda kena nilai sendiri versi saya," kata beliau, seperti dipetik dalam kenyataan media.

MAKNA DI SEBALIK 'RASA'

Ramli juga berkongsi beliau amat menitikberatkan 'rasa' dalam persembahannya, sekali gus memilih perkataan tersebut sebagai judul album itu.

"'Rasa' itu kuat. Saya selalu menggunakan perkataan 'rasa' sebagai satu jenama bagi saya.

"Jadi kalau kita buat persembahan, kalau kita tak rasa, kalau tak rasa sedap, (kita) takkan dapat nikmat dia.

"Bagi muzik keseluruhan ini, rasa dan perasaan itu sangat penting," jelas beliau.

ALBUM PENUH BERI KEPUASAN BERBEZA

Yang pasti, menghasilkan album penuh pada zaman di mana lebih banyak single dihasilkan, jelas memberi kepuasan kepada legenda rock ini.

"Album penuh, kepuasan dia luar biasa. Kita dapat lengkapkan citarasa dan temanya.

"Kalau pencinta muzik dia akan dapat rasa muzik, pada pencinta lagu, dia akan dapat dengar lagu, pada pencinta bahasa, dia akan dapat bahasa, jadi dia akan dapat semua.

(Gambar: Ramli Sarip Official)

"Kalau single, tak dapat banyak yang kita boleh pecahkan benda itu.Kita tertakluk kepada masa yang terhad," kongsi beliau.

Selain perlu ada keyakinan dan kesungguhan untuk menghasilkan album, Ramli berkata beliau juga cukup meniktikberatkan lirik, bahasa dan melodi dalam pembikinan album tersebut.

"Kita ambil berat pasal semua itu supaya ia dapat dijadikan sebagai bukan sahaja satu kenangan tetapi sandaran bagi generasi muda yang akan datang supaya mereka lebih bersemangat.

"Harapan saya ia akan mengembalikan balik satu kekuatan semangat seni hiburan dan juga tanah air dan juga cinta kepada bahasa juga.

"Jangan terlalu santai-santai maknanya, kita buat dengan penuh kejujuran."

Album 'Rasa' kini dijual di Wardah Books pada harga $35. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan