Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Papa 'rock' bakal lahirkan album penuh baru jelang hujung tahun

Ini bermakna, beliau mungkin menjadi artis Singapura pertama yang mengeluarkan album penuh dalam tahun 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Papa 'rock' bakal lahirkan album penuh baru jelang hujung tahun

(Gambar: Ramli Sarip/Facebook)

SINGAPURA: Papa 'rock' Ramli Sarip bakal melahirkan album baru menjelang hujung tahun ini.

Ini bermakna, beliau bakal menjadi artis Singapura pertama yang mengeluarkan album penuh dalam tahun 2020. Ini juga album penuh yang ke-21 bagi legenda 'rock' itu.

Setakat ini, Ramli Sarip sudahpun merakamkan lima daripada 10 buah lagu baru yang akan dimuatkan dalam album tersebut.

Semua lima lagu itu dirakamkan di Kuala Lumpur sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Lagi lima lagu sedang dirakamkan di Singapura.

Antara lagu yang sudah disiapkan berjudul Srikandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat, Surat Cinta Kuala Lumpur, Bersimpul di Serambi dan Cinta Di Sebalik Musim.

Sedang ramai artis cenderung untuk mengeluarkan 'single', Ramli Sarip pula "gemar" merakamkan album penuh kerana ia merupakan satu kepuasan peribadi.

"Saya rasa kepuasannya agak luar biasa kalau berbanding seperti 'single' dan sebagainya. Saya tidak mengatakan ia tidak relevan.

"Tapi kepuasan yang saya cari itu bila saya dapat berkonsepkan satu album yang penuh dengan citarasa yang pelbagai, ia lebih memberi saya kepuasan dan makna yang agak lebih dalam lagi," kata beliau.

Hari ini (22 Sep) Ramli Sarip menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat penaja Boss Production Pte Ltd (BPPL) untuk bekerjasama menerbitkan album tersebut.

Pengurus besar BPPL, Muhammad Rizal Rasudin, mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan legenda itu bukan semata-mata kerana tertarik kepada jenama Ramli Sarip, tetapi beliau ingin menyuntik semangat para pengkarya muzik lain untuk terus menghidupkan industri tersebut.

Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan tidak menentu sekarang, yang belum kelihatan titik penghujungnya.

Pendapatan pemuzik serta kakitangan belakang tabir turut terputus, dengan tiada sebarang konsert atau acara berbentuk hiburan yang boleh dianjurkan buat masa ini.

Begitu juga harapan legenda bernama Ramli Sarip ini.

"Supaya ia memberi sedikit inspirasi kepada generasi muda, artis-artis atau kumpulan muda untuk keluar bekerja terus dengan rasa penuh tanggungjawab.

"Tanamkan semangat dan perjuangan di situ. Saya rasa kita perlu ke hadapan dengan keadaan apa juga sekarang kita tidak boleh hanya duduk dengan tidak membuat sesuatu yang positif dan berani," ujar beliau.

Album terbaru Ramli Sarip itu menggabungkan karya pemuzik-pemuzik Singapura dan Malaysia.

Dari Singapura termasuk Din Safari, Addy Rasidi, Riduan Zalani dan Al Hafiz Jamat. Dari Malaysia pula termasuk Allahyarham Fauzi Samin, Tom Anuar, Rio Rasul dan Rizal Halim.

Para peminat boleh mendapatkan album itu menerusi kelab peminat Ramli Sarip Singapura dan Malaysia.

Album tersebut akan diterbitkan dalam bentuk digital dan juga CD, yang dicetak dalam jumlah terhad. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan