Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Padi Reborn dan Hujan janjikan lagu ceria, positif & ‘hits’ semasa konsert Esplanade

Pentas Esplanade bakal digegarkan oleh gandingan kugiran dua negara dari Indonesia dan Malaysia pada 30 June 2019 ini, apabila kumpulan Padi Reborn ( Indonesia) dan kumpulan Hujan (Malaysia) disatukan untuk pertama kalinya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Padi Reborn dan Hujan janjikan lagu ceria, positif & ‘hits’ semasa konsert Esplanade

Kugiran dari Indonesia, Padi Reborn. (Gambar: Esplanade, Theatres on the Bay)

BERITAmediacorp: Pentas Esplanade bakal digegarkan oleh gandingan kugiran dua negara dari Indonesia dan Malaysia pada 30 June 2019 ini, apabila kumpulan Padi Reborn ( Indonesia) dan kumpulan Hujan (Malaysia) disatukan untuk pertama kalinya.

Masing-masing akan menunjukkan taring mereka di pentas sebagai kumpulan senior (Padi Reborn) dan junior (Hujan) tetapi dengan tujuan yang sama - untuk memberikan persembahan yang terbaik bagi konsert Hujan x Padi Reborn sempena Pesta Raya di Esplanade.

Meskipun kumpulan Padi lebih senior kerana telah ditubuhkan sejak 1997 lagi dengan single mereka berjudul "Sobat", mereka berbesar-hati untuk berkongsi satu pentas dengan kumpulan Hujan. Ini komen gitaris Piyu yang mewakili Padi Reborn:

"Kami tahu Hujan adalah band yang sangat berpengaruh di Malaysia. Prestasinya membanggakan dan kami senang berkesempatan tampil satu panggung dengan Hujan."

BAND SENIOR KEBERATAN KOLABORASI DENGAN BAND JUNIOR?

Band Indonesia tersebut belum pernah bergabung bersama Hujan sebelum ini namun mereka berjanji untuk memberikan persembahan yang sebaik mungkin apabila bertemu di pentas nanti.

Gambar: Facebook/Padi

(Gambar: Facebook/Padi)

Piyu menambah, konsert di Esplanade nanti lebih istimewa kerana ia adalah kali pertama mereka muncul di Singapura setelah mereka "Reborn", yang tetap kekalkan jalur muzik yang sama iaitu Pop Rock.

"Dengan semangat yang baru, kami telah mempersiapkan visual, reka bentuk lampu dan set list yang akan membawa kembali pada kenangan Sobat Padi yang begitu indah," janji Piyu.

Padi pernah berkonsert di Singapura sebelum ini, namun inilah kemunculan kembali mereka setelah tujuh tahun "menghilang".

Apakah komen Padi kerana selalunya ada sesetengah band senior keberatan untuk berkongsi pentas bersama band junior untuk konsert disebabkan oleh ego atau menjaga kredibiliti masing-masing. Ini jawapan jujur Piyu kepada BERITAmediacorp:

"Buat kami kolaborasi adalah sebuah cara buat para pemuzik untuk alihkan ‘energy’ . Pemuzik senior akan mengalihkan pengalaman dan untuk junior akan mengalihkan semangat ‘energy’ mudanya. Sebagai pemuzik, musik adalah bahasa universal sehingga selalu menyenangkan bagi kami berkomunikasi dengan bahasa musik."

(Gambar: Facebook/Padi)

(Gambar: Facebook/Padi)

LAGU-LAGU CERIA DAN PESAN POSITIF

Khusus untuk peminat-peminat Singapura, kumpulan Padi Reborn dijangka akan menyanyikan lagu cover masing-masing pada malam tersebut disamping kolaborasi di atas pentas nanti yang akan hanya diketahui pada malam tersebut. Yang pasti mereka menyatakan akan memilih lagu yang ceria dan memiliki pesan positif untuk disampaikan.

Piyu turut ditanya apakah rahsia mereka dapat kekal sehingga kini meskipun mereka kini menjadi Padi Reborn kini. Kongsinya:

Kugiran dari Malaysia, Hujan. (Gambar: Esplanade, Theatres on the Bay)

HUJAN: INI PERSIAPAN ‘MEMBUNUH DIRI’

Bagi kumpulan Hujan pula, anggotanya Noh yang dihubungi baru-baru ini mengatakan mereka begitu teruja apabila diberitahu mengenai konsert tersebut. Beberapa bulan lepas, Hujan baru sahaja ke Bali untuk persembahan Soundrenaline di mana kumpulan Padi Reborn turut membuat persembahan.

"Agak dekat jaraknya untuk menerima berita akan berkongsi pentas bersama mereka," akui Noh, yang merupakan salah seorang peminat Padi sendiri sehingga nyanyiannya dipengaruhi juga oleh muzik kumpulan Padi Reborn.

Bagaimana persiapan Hujan untuk berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia itu nanti?

"Ia lebih kepada persiapan membunuh diri. Kami sekecil debu berbanding band gergasi (Padi) yang sangat banyak memberi impak kepada kebanyakan pemuzik dirantau kita ini. Setakat ini persiapan tak berapa berat kerana kami jarang ke Singapura dan banyak setlist yang Singapura tak sempat layan daripada Hujan," jawab Noh.

Namun, kumpulan Hujan sudah semestinya akan memberikan "the best of Hujan" pada malam persembahan nanti. Mentelah lagi para peminat semestinya mengharapkan Hujan akan membawakan lagu-lagu hits mereka seperti Bila Aku Sudah Tiada, Jiwa Kelajuan dan Pagi Yang Gelap.

“KITA MUZIK ROJAK ROCK N ROLL BALADA”

Tanpa berselindung, Noh berkongsi bahawa tidak akan ada sebarang elemen kejutan ataupun nyanyian bersama kedua-dua band tersebut. Cuma jelas Noh, apa yang membezakan mereka jika dibandingkan dengan Padi Reborn ialah: "Kita musik rojak Rock n Roll balada, Padi dengan pop rock pasti beza lah. Beza pengalaman diatas pentas juga, jauh lebih hebatnya Padi."

(Gambar: Facebook/HUJAN)

(Gambar: Facebook/HUJAN)

Kumpulan yang dianggotai oleh 4 jejaka itu pernah berkonsert di Singapura sebelum ini. Tambah beliau secara berseloroh:

"Ada di antara mereka yang mengharapkan persembahan Rock n Roll lompat dari pentas ke bawah, pecah gitar semua. Kami juga tengah pening fikir nak ‘tone down’ ikut tema Pesta Raya dan berkongsi pentas dengan Padi."

Beliau berharap konsert tersebut bakal memberi impak bukan sahaja kepada Hujan dan Padi Reborn tetapi juga kepada warga Singapura yang hadir. Malah Noh menyimpan harapan agar konsert itu tidak habis begitu sahaja. Tetapi ada kesinambungannya perhubungan Hujan dan Padi sehingga “berlanjutan sampai ke Indonesia Malaysia dan China”.

Tiket-tiket konsert berharga $55 dan $80 dan tiket VIP Meet and Greet Hujan x Padi Reborn boleh diperolehi di www.esplanade.com/pestaraya.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan