Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Padi kembali selepas 7 tahun terputus, konsert pada 30 Jun ini

Biarpun masa berlalu bersilih ganti dan mereka menyepi selama tujuh tahun, tiada seorang pun anggota Padi pernah terlintas untuk menubuhkan kumpulan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Padi kembali selepas 7 tahun terputus, konsert pada 30 Jun ini

Gambar: Padi/Facebook

Diterbitkan : 07 May 2018 01:14PM Dikemas Kini : 07 May 2018 01:29PM

KUALA LUMPUR: Biarpun masa berlalu bersilih ganti dan mereka menyepi selama tujuh tahun, tiada seorang pun anggota Padi pernah terlintas untuk menubuhkan kumpulan baru.

Mereka mengakui mengalami pelbagai rasa namun semuanya enggan bersuara. Puncanya, ego masing-masing yang mendorong semuanya tidak mahu bertegur sapa sepanjang tempoh itu.

Menurut vokalis Padi, Fadly, tanpa keriuhan, gelak tawa dan perkongsian detik suka duka yang diibarat seperti sebuah keluarga membuatkan perasaan anggota kumpulan bergejolak untuk bersatu semula, lapor Malaysiakini.

“Memang tiada siapa anggota Padi berniat mahu menggantikan kumpulan ini dengan band lain. Bagi kami Padi ialah kerjaya yang perlu dipanjangkan selagi hayat dikandung badan.

“Padi itu adalah identiti sebenar dan rumah pertama yang saya bina bersama sahabat-sahabat.

"Tetapi saya akui, selama tujuh tahun menyepi, perasaan sedih menguasai jiwa kerana 'rumah' itu tiada penghuni,” katanya.

Pemilik nama penuh Andi Fadly Arifuddin, 42, ditemui di sidang media Padi Reborn Exclusive Live In KL, baru-baru ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran gitaris Ari dan Piyu, manakala Yoyo (dram) dan Rindra (basis) tidak dapat hadir ekoran sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

KONGSI RASA HATI

Bagi Piyu pula setiap pekerjaan yang dilakukan sepanjang tempoh Padi 'sepi' itu gagal memberi ketenangan atau kepuasan sebenar.

Dia yang memiliki nama sebenar Satriyo Yudi Wahono, 44, berkata dia ada terlibat dalam projek dengan penyanyi lain atas kapasiti peribadi.

"Namun saya tak gembira, justeru kami kembali kerana komited untuk menyambung impian sebagai sebuah kumpulan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu, khusus buat peminat katanya, sebuah filem pendek diberi judul sama dengan lagu pernah dihasilkan, Menanti Sebuah Jawaban dicipta bagi berkongsi segala curahan hati ekoran isu yang pernah menghimpit mereka.

“Usaha ini dilanjutkan dengan penghasilan Menanti Sebuah Jawaban.

"Filem ini saya ibarat terapi kerana menceritakan segenap hal yang pernah berlaku antara kami semua,” katanya.

Sementara itu Ari pula bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk terus menghiburkan peminat dengan band yang ditubuhkannya pada 1990-an itu.

Katanya, dia ingin semua anggota Padi menjaga persahabatan seperti diharapkan peminat.

“Kalau diperhatikan jarang sesuatu kumpulan kekal lama dengan ahli-ahli asal mereka. Namun dengan Padi, alhamdulillah selepas 20 tahun kami masih kekal berlima dengan ahli asal.

“Kami cuba jadi contoh dari segi itu, sebabnya kami berlima sudah ibarat seperti adik-beradik. Walaupun terpisah tujuh tahun, rasa rindu yang menebal membuatkan kami kembali semula,” katanya kepada Malaysiakini.

PADI REBORN - KONSERT MERAIKAN SEMANGAT TIDAK PUTUS DALAM DUNIA HIBURAN

Selepas menamatkan segala kemelut yang pernah melanda, Padi pada 10 November tahun lalu mengumumkan untuk kembali dengan identiti baru iaitu Padi Reborn.

Sempena kemunculan Padi Reborn itulah sebuah konsert diadakan pada 30 Jun depan di KL Live Centre bagi meraikan semangat mereka yang tidak pernah putus selama berkecimpung dalam dunia hiburan.

Padi Reborn akan menyampaikan sekurang-kurangnya 15 lagu dalam tempoh 90 minit persembahan.

Bagaimanapun secara berseloroh, kata Fadly, ia bergantung mengikut keadaan.

“Moto kami untuk persembahan itu adalah anda puas, kami lemas,” katanya.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan