Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pada usia 88 tahun, Nona Asiah ‘lahirkan’ CD baru lagu-lagunya

Namanya begitu gah bukan hanya di persada muzik Singapura, malah terkenal juga di rantau Nusantara. Di zaman gemilangnya pada tahun-tahun 1950 hingga 1960-an, Nona Asiah sebuah nama yang cukup terkenal dalam dunia Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pada usia 88 tahun, Nona Asiah ‘lahirkan’ CD baru lagu-lagunya

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 26 Oct 2018 10:41PM Dikemas Kini : 28 Oct 2018 01:40AM

BERITAmediacorp: Namanya begitu gah bukan hanya di persada muzik Singapura, malah terkenal juga di rantau Nusantara. Di zaman gemilangnya pada tahun-tahun 1950 hingga 1960-an, Nona Asiah sebuah nama yang cukup terkenal dalam dunia Melayu.

Kini CD album lagu-lagu popular Nona Asiah dirakamkan semula, selain diterbitkan video dokumentari singkat mengenai sejarah dan pelibatan beliau dalam seni.

Sebanyak 8 lagu malar-segar seperti Cempaka Biru, Jikalau Abang Merindu, Hasan dan Hasnah, serta Ingin Tahu dimuatkan dalam CD tersebut. Lagu-lagu tersebut dinyanyikan semula oleh vokalis muda dan baru seperti Nur Amirah Rohaizad, Mohamad Shahzuie Jaffar, Syah Riszuan, Hazrul Nizam, Nur Liwani Izzati Jelani, serta Najip Ali dan Rilla Melati. Muzik untuk album ini disusun oleh anak bongsunya sendiri - pemuzik handalan dan disegani - Indra Shahrir Ismail, 51 tahun.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Selain bernyanyi dan menjadi guru nyanyian di Bengkel Kanak-Kanak dan bersama rancangan Aksi Mat Yoyo, ibu kepada lima orang anak ini juga dikenali sebagai usahawan wanita yang cukup kreatif, selaku pereka busana fesyen pakaian wanita. Rekaan fesyen ‘Seniati’ merupakan ciptaan terkenalnya dan diminati ramai. Malah, para pelanggannya juga merupakan nama ‘besar’ atau primadona Melayu seperti seniwati Saloma, Kartina Dahari, Siput Sarawak, Latifah Omar dan ramai lagi.

EKSKLUSIF: HANYA 400 KEPING SAHAJA DIHASILKAN

CD berjudul Legacy: The Musical Journey of Nona Asiah (Warisan: Perjalanan Muzik Nona Asiah) diterbitkan oleh The RICE Company Ltd, sebuah badan bukan untuk keuntungan dan merupakan juga anak syarikat kepada Global Cultural Alliance Ltd. Sebanyak 400 keping CD sahaja dihasilkan, dan akan diedarkan kepada semua sekolah rendah dan menengah di serata Singapura secara percuma.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

CD ini tidak dijual kepada umum, namun jika anda ingin mendengar nyanyian dari vokalis generasi muda ini, anda boleh meminjamnya di perpustakaan berdekatan rumah anda.
Majlis pelancaran CD itu dibuat baru-baru ini (18 Okt) dalam satu majlis privet yang dihadiri sebilangan penggiat seni dan rakan-rakan yang rapat dengan Nona Asiah.

TERHARU MASIH LAGI DIINGATI 

Dilahirkan pada tahun 1930 dan bermula sebagai penyanyi latar untuk filem-filem keluaran Shaw Brothers (MFP) dan Cathay Keris Malay Films, Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah Aman, bermula bernyanyi ketika berusia 8 tahun. Beliau juga berkesempatan belajar bermain piano dan bernyanyi daripada penggubah tersohor yang mencipta lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’, Allahyarham Pak Zubir Said.

(Gambar: Legacy: The Musical Journey of Nona Asiah)

(Gambar: Legacy: The Musical Journey of Nona Asiah)

Kini pada usia 88 tahun beliau berasa sungguh teruja dan terharu, kerana masih ramai lagi yang masih mengingati dirinya serta sumbangannya kepada seni suara suatu ketika dahulu. Beliau juga mengharapkan agar seniman muda hari ini akan lebih gigih berkarya dan terus berjaya, selain belajar selok-belok mengenai muzik dengan betul.

“Saya begitu gembira kerana diri ini, saya lagi diingati sehingga kini. Saya mengharapkan penyanyi generasi akan datang akan menjadi lebih baik dan berjaya dalam industri muzik daripada zaman sebelumnya.

“Mereka juga perlu dilengkapi dengan ilmu yang mendalam. Seperti ilmu membaca nota muzik dan ilmu bernyanyi dengan lenggok yang betul dan dengan sempurna,” ujar Mak Nona sambil tersenyum. Beliau adalah penerima Pingat Budaya Majlis Seni Kebangsaan (NAC) tahun 2016.

YUSNOR EF: NONA ASIAH TOKOH YANG TIDAK HARUS DILUPAKAN

Apa kata rakan-rakan artis mengenai Nona Asiah? Bagi Yusnor Ef, Nona Asiah merupakan permata yang tiada penggantinya. Beliau juga merupakan seorang seniwati yang bukan hanya boleh bernyanyi dengan baik, malah berbakat besar di dalam dunia perniagaan, khususnya di dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen wanita.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Kini berusia 81 tahun, Yusnor yang merupakan penulis lirik veteran dan sudah mengenali Nona Asiah sebagai teman artis selama berdekad-dekad lamanya.

“Sebut sahaja nama Nona Asiah, semua orang tahu, beliau merupakan seorang seniwati yang sungguh komited di dalam kerja-kerjanya dan berbakat besar. Seni yang dibawanya, cukup ikhlas dan sesuatu yang boleh dipelajari oleh generasi muda hari ini,” jelas Yusnor Ef.

Lantaran itu, Yusnor Ef beranggapan, Nona Asiah seorang tokoh yang tidak harus kita lupakan, dan sumbangan dan jasa beliau bukan hanya di Singapura, tetapi di rantau Nusantara - cukup besar dan begitu bermakna.

NAJIP ALI: MAK NONA PUNYA 3 FAKTOR MITHALI

Bagi selebriti serba boleh Najip Ali, 53 tahun, pelibatannya dalam arena muzik sehingga ke pada hari ini adalah kerana Nona Asiah, dan beliau begitu bangga menjadi protégé biduanita tersebut.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Beliau berpendapat, Nona Asiah merupakan juga seorang wanita dan penghibur yang bervisi tinggi, berwawasan dan cukup berdisplin.

“Secara peribadi, Nona Asiah merupakan seorang wanita yang mempunyai 3 faktor yang perlu dicontohi ramai, seperti bervisi, berdisplin dan mempunyai nilai atau passion yang mendalam terhadap kerja seninya.

“Selain itu, sumbangannya terhadap muzik kanak-kanak cukup besar. Tanpanya mungkin kita tidak mempunyai lagu kanak-kanak seperti sekarang, dan dengan lagu-lagu itulah kita masih nyanyikan sehingga kini,” kongsi Najip lagi.

Antara kanak-kanak yang mendapat bimbingan Mak Nona ialah ‘Bobo’ Johan Abdul Rahman, Rilla Melati dan Khairudin Samsudin. Hakikatnya, ramai lagi yang mendapat bimbingan beliau dan berjaya dalam arena seni hingga ke hari ini, kata Najip lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan