Images
  • ramlee main
    'P Ramlee' Sabah, Fairuz Misran (Gambar ihsan: Fairuz Misran)

‘P. Ramlee’ ini tidak mahu jadi P. Ramlee

BERITAmediacorp: Wajahnya betul-betul macam P. Ramlee. Suaranya juga begitu mirip dengan seniman agung P Ramlee. Kalau kita mahu membuat sebuah filem mengenai P. Ramlee, mungkin beliaulah antara yang paling layak untuk menjayakan watak P. Ramlee itu.

Bagi anda yang belum kenal atau dengar tentang dengan jejaka ini, diperkenalkan P. Ramlee Sabah, atau nama sebenarnya Fairuz Misran.

Bakatnya mula dikenali umum setelah menjuarai pertandingan nyanyian Bintang P. Ramlee RTM peringkat kebangsaan pada 2012, yang turut disertai penyanyi dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.


Fairuz akhirnya berjaya menjadi artis rakaman setelah beliau meniru suara P. Ramlee selama 19 tahun lamanya. Penyanyi berusia 34 tahun itu muncul dengan single pertamanya berjudul Indahnya Raya yang mula diedarkan pada 28 Mei 2019.

“SAYA TIDAK MAHU JADI P. RAMLEE”

Fairuz berkongsi bahawa beliau mula menyanyi sejak usianya 6 tahun lagi. Namun demikian beliau membesar dengan lagu-lagu rok era tahun 90-an.

“Bila dah besar saya mendengar lagu-lagu P. Ramlee yang sangat unik dan mempunyai mesej-mesej yang kita guna pakai sehingga ke hari ini jadi saya beralih kepada lagu-lagu P. Ramlee sejak umur 15 tahun,” kongsi beliau kepada BERITAmediacorp menerusi panggilan jauh.


Beberapa bulan lepas, viral video Fairuz membawakan lagu Maafkan Kami yang dikatakan mirip seperti suara Tan Sri P.Ramlee.

Jejaka kelahiran Sabah yang menetap di Labuan itu turut ditanya mengapakah beliau mengambil masa yang lama iaitu 19 tahun untuk dikenali membawakan lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee?

Ini penjelasan Fairuz kepada kami: “Saya aktif di kawasan Borneo. Ketika itu belum aktif di media sosial. Waktu itu saya belum lagi bersedia sebab nak bawak nama P. Ramlee satu nama yang sangat besar di Nusantara. Saya memperjuangkan khazanah yang beliau tinggalkan. Itu sahaja. Saya tidak mahu jadi P. Ramlee.”


JAMBUL, KUMIS, SUSUK BADAN SAMA MACAM P. RAMLEE

Menerusi nada nyanyian, wajah serta gaya nyanyian ala P. Ramlee , ada yang mengatakan Fairuz memang sudah berjaya meniru suara seniman agung tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan jambulnya, kumis serta susuk badannya yang seiras P Ramlee, sebagaimana dilihat dalam setiap persembahan.

Ini sekali gus juga mencetuskan kembali nostalgia lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh seniman negara tersebut.


(Gambar-gambar: Fairuz Misran)

Apakah sukar untuk beliau meniru suara seniman agung itu?

“Bila dah lama buat kita terbiasa untuk lenggokkan suara dia. Misai memang saya trim (ketawa). Untuk pakaian saya pergi ke Galeri P. Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur. Mereka ada pamerkan pakaian, kereta, beca, nota-nota lagu, piano selain cari menerusi Google,” katanya dengan percakapan ala P. Ramlee juga untuk temu bual ini dengan BERITAmediacorp ini.

Jawapannya ringkas tetapi bermakna apabila beliau ditanya mengapakah beliau bercakap ala Tan Sri P. Ramlee kepada penulis juga.

Kongsi Fairuz: “Saya dah terbiasa cakap macam ini dengan low note. Saya akan merendahkan suara saya.”

PERSOALAN TUMPANG AURA, ‘GLAMOUR’ P. RAMLEE

Lumrah bagi mana-mana artis untuk menerima komen-komen negatif dari pelbagai pihak. Fairuz sendiri pernah dikatakan menumpang aura serta populariti P. Ramlee untuk menjadi ‘glamour’.

Hal ini adalah sesuatu yang beliau takut juga sebenarnya namun beliau sudah bersedia untuk menghadapinya.

“Yang penting apa yang saya buat ini bukan untuk itu sebenarnya. Memang ada yang pernah katakan macam itu sebelum ini. Ia tidak menyebabkan saya untuk berhenti menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee sebab benda-benda negatif macam itu kita tengok saja dan ambil yang positif saja sebab yang positif sekarang ini lebih banyak berbanding dengan yang negatif,” ujar Fairuz.


Apa jua pandangan orang ramai terhadap dirinya, ‘klon’ P. Ramlee itu tetap bersyukur dan amat gembira apabila single pertamanya khas untuk musim Hari Raya, kini mendapat hampir 1.3 juta tontonan di YouTube dalam masa sesingkat tiga minggu sahaja!

Tidak dinafikan ini suatu pencapaian luar biasa bagi seseorang artis kerana belum tentu artis-artis popular masa kini lain pun akan mendapat perhatian yang sedemikian.

Untuk single Indahnya Raya, Fairuz tetap menggayakan suaranya ala P. Ramlee:

“Memang nak suara macam itu untuk lagu itu, jadi apa salah saya nyanyi lagu macam itu dengan muzik Kemelayuan seperti itu jadi saya teruskan menjaga khazanah seni kita. Untuk album saya pun Insya Allah saya akan kekalkan elemen seperti itu.”


Harapan Fairuz satu sahaja - mahu masyarakat terus menyokong karya-karya warisan bangsa Melayu kerana padanya lagu-lagu tersebut penuh dengan nasihat dan kata-kata yang indah.

“Mungkin saya keluar macam ini orang akan cari balik lagu-lagu P. Ramlee di YouTube dan pasang balik lagu-lagunya di kompleks membeli-belah,” tambahnya.

Sempena Syawal ini, Fairuz mengambil kesempatan untuk turut mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada kesemua pembaca BERITAmediacorp. 

- BERITAmediacorp/tq

Top